Ini Faktor Positif Yang Pulihkan Semula Prestasi US Dolar

774

Penyusutan US dolar yang berlaku selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) diterbitkan kembali reda dan menyaksikan mata wang itu bergerak stabil berbanding mata wang utama yang lain semula.

Membendung penyusutan lanjut US dolar adalah terbitan data indeks harga pengeluar AS dengan angka bacaan yang baik pada 1.0% seperti bacaan sebelum ini, berbanding jangkaan penurunan kepada 0.6%.

Harga pengeluar yang mencatatkan lonjakan tahunan terbesar lebih 1 dekad dalam tempoh 12 bulan sehingga Julai, masih memberikan petunjuk kadar inflasi kekal kuat.

Hal ini berkemungkinan akan kembali memberikan idea kepada pelabur terhadap rancangan pengetatan dasar oleh Federal Reserve (Fed) dengan pengurangan pembelian bon (tapering) seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini.

Tambahan, hasil tinjauan Reuters menunjukkan majoriti menjangka Fed bakal mengumumkan rancangan tapering aset pada mesyuarat September ini dan tidak menjangkakan pengumuman akan berlaku pada persidangan Jackson Hole bulan ini.

Selain itu, data berbeza yang menunjukkan kadar tuntutan pengangguran oleh rakyat AS pada minggu sebelum ini mencatatkan penurunan ekoran pemulihan ekonomi daripada pandemik yang berterusan.

Hasil perbendaharaan 10 tahun AS masih menunjukkan corak kenaikan, namun belum lagi melepasi paras 1.40%. Peningkatan yang dipaparkan sedikit sebanyak turut menyokong pemulihan prestasi US dolar di penghujung minggu.

Mata wang Euro dan Yen masih bertahan, namun beberapa mata wang lain seperti Pound dan dolar Aussie gagal membendung tekanan oleh US dolar dan mencatatkan penurunan harga semula.

Sementara komoditi emas pula masih stabil daripada mengalami kejatuhan nilai seperti situasi penghujung minggu lalu dan bersambung pada pembukaan pasaran di awal minggu ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat