Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilaporkan merancang untuk melantik Ketua Eksekutif Pusat Kemajuan Amerika, Neera Tanden sebagai Pengarah Pejabat Pengurusan dan Bajet serta ahli ekonomi, Cecilia Rouse sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi.
Menurut Reuters, Biden turut merancang untuk melantik penasihat kanan ekonomi antarabangsa sewaktu zaman pemerintahan Barack Obama iaitu Wally Adeyemo sebagai Timbalan Jabatan Perbendaharaan.
Tambah laporan berkenaan, dua ahli ekonomi iaitu Jared Bernstein dan Heather Boushey bakal dilantik sebagai anggota Majlis Penasihat Ekonomi.
Bagaimanapun, wakil kempen pilihan raya Biden tidak memberikan sebarang komen berhubung laporan tersebut. Malahan Tanden, Rouse, Adeyemo, Bernstein dan Boushey juga tidak memberikan sebarang maklum balas sehingga kini.
Sama seperti apa yang berlaku kepada Obama pada 2009, Biden terpaksa berdepan situasi ekonomi yang getir ketika beliau dilantik secara rasmi pada 20 Januari kelak.
Hampir 14 juta rakyat Amerika, kebanyakannya pernah bekerja di restoran dan industri hospitaliti telah menerima bantuan pengangguran yang bakal berakhir pada 26 Disember depan namun gelombang pandemik coronavirus yang berterusan telah mengakibatkan harapan mereka untuk kembali bekerja semula dalam waktu terdekat kian samar.
Biden dilaporkan akan fokus untuk membawa Amerika melepasi krisis coronavirus. Ramai rakyat Amerika mengharapkan pakej rangsangan pandemik Covid-19 akan diluluskan dan pengedaran vaksin yang dijangka berlaku pada awal tahun hadapan.