Kebimbangan Konflik AS-Iran Berkurangan, Harga Minyak Terus Mengukuh

242

Dagangan minyak mentah kukuh didorong oleh kebimbangan konflik Amerika Syarikat dan Iran semakin berkurangan menyebabkan perhatian pelabur beralih kepada perjanjian perdagangan A.S dan China yang akan ditandatangani minggu ini.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 5 sen kepada $65.03 setong manakala WTI Amerika Syarikat meningkat 8 sen kepada $59.12 setong.

Ketegangan antara A.S dan Iran berkurang selepas kedua-dua pihak tidak menunjukkan isyarat ingin meneruskan pertikaian susulan serangan yang dilancarkan Tehran pada Rabu lalu ke pangkalan tentera A.S di Iraq.

Bagaimanapun, keadaan di Tehran masih tidak menentu, diikuti oleh protes oleh rakyat negara itu selepas kerajaan mengakui kesilapannya yang menembak jatuh pesawat malang milik Ukraine sehingga mengorbankan 176 mangsa.

Pengakuan Iran telah membangkitkan kemarahan rakyat dan beberapa negara lain yang juga terlibat dengan nahas itu. Turut mendapat perhatian adalah kenyataan Trump yang menyokong tindakan penunjuk perasaan di Tehran.

Pada Jumaat, Setiausaha Perbendaharaan A.S Steven Mnuchin telah mengumumkan lebih banyak sekatan baru akan dikenakan kepada sektor ekonomi Iran termasuk sekatan terhadap lapan pegawai kanan dari negara itu.

Harga minyak turut disokong oleh sentimen optimis perdagangan memandangkan perjanjian fasa 1 akan ditandatangani dalam beberapa sahaja lagi.

Dalam kenyataan terbaru Mnuchin, beliau menjawab khabar angin yang menyatakan terma perjanjian fasa 1 telah berubah apabila diterjemahkan adalah tidak benar. Kesepakatan yang dicapai pada Disember lalu masih kekal dengan China akan membeli $40 hingga $50 bilion barangan A.S dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, harga emas menyusut didorong oleh keyakinan perdagangan meskipun dagangan logam berharga itu turut mencerminkan sentimen berhati-hati pelabur memandangkan butiran mengenai perjanjian fasa 1 yang masih belum jelas.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat