Ketegangan Di Timur Tengah Dorong Lonjakan Harga Minyak Mentah Dan Emas!

628

Harga minyak melonjak hampir 4% berikutan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran semakin meningkat selepas satu serangan peluru berpandu oleh AS di lapangan terbang Baghdad dilaporkan telah berlaku pada pagi ini.

Niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak hampir $3 kepada $69.16 setong, iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan sejak September, manakala WTI Amerika Syarikat pula naik $1.76 kepada $62.94 setong.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, serangan tersebut telah mengorbankan beberapa pegawai tentera termasuk Jeneral Iran Qasem Soleimani iaitu ketua unit Pasukan Quds dan Komander Iraq Abu Mahdi al-Muhandis.

Sementara itu, Amerika Syarikat memberitahu serangan itu adalah bertujuan sebagai pertahanan untuk melindungi anggota tentera AS di luar negara.

Ketegangan ini dijangka akan berterusan memandangkan Majlis Keselamatan Negara Iran dilaporkan bakal mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai tindakan yang perlu diambil untuk bertindak balas terhadap serangan udara AS.

Terdahulu, penganalisis telah memberi amaran bahawa Iraq berisiko tinggi untuk menghadapi gangguan bekalan minyak pada tahun ini berikutan ketegangan AS dan Iran yang semakin hangat.

Pengeluaran minyak di Iraq turut menerima tekanan disebabkan berlakunya protes oleh penunjuk perasaan yang memaksa penutupan pelantar minyak di selatan Iraq disebabkan tadbir urus yang lemah.

Selain itu susulan daripada kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat, dagangan emas turut memperoleh manfaat dengan melonjak ke paras tertinggi empat bulan. Logam kuning ini didagangkan meningkat sebanyak 0.75% kepada $1540.25 sebelum susut sedikit kepada $1538.70.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat