Ketegangan Timur Tengah Membimbangkan Pasaran Minyak Mentah Global

51

Harga minyak mentah terus jatuh dan kini minyak Brent didagang di bawah paras $50 setong. Hal ini berikutan sentimen terbaru yang memberi tekanan kepada komoditi hitam iaitu krisis geopolitik di Timur Tengah antara Qatar dan beberapa negara Arab yang dijangka akan mengganggu keberkesanan perjanjian OPEC.

Negara-negara kuasa Arab termasuk Arab Saudi, Mesir, dan Emiriah Arab Bersatu pada Isnin telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar yang mereka dakwa menyokong pengganas dan Iran.

Langkah yang diambil oleh Arab Saudi adalah dengan tidak membenarkan kapal-kapal dari Qatar ke semenanjung Fujairah di UAE yang digunakan oleh syarikat pengeluar minyak Qatar.

Dengan pengeluaran minyak sehingga 620,000 tong sehari, Qatar adalah antara pengeluar terkecil di dalam OPEC, tetapi ada pelabur yang bimbang jika ketegangan ini semakin memuncak akan melemahkan perjanjian yang dibuat sebelum ini bagi menstabilkan pasaran minyak mentah.

Greg McKenna, ketua strategi pelaburan di Axitrader berkata “perjanjian yang telah dibuat boleh retak”.

“Perjanjian OPEC tidak akan diubah disebabkan ketegangan Qatar. Pengeluaran minyak di Timur Tengah tidak akan berubah disebabkan Qatar,” kata Oystein Berentsen, pengarah urusan dagangan minyak di Strong Petroleum.

David Wech pengarah urusan JBC Energy, bersetuju: “Kami tidak melihat banyak kebimbangan dalam hal ini yang memberi risiko kepada perjanjian OPEC.”

Peningkatan pengeluaran oleh US juga terus memberi tekanan kepada pasaran komoditi hitam. Pengeluaran di US telah melonjak 10% sejak pertengahan 2016 kepada 9.34 juta tong.

“Peningkatan pengeluaran di US yang tidak henti-henti memberi kebimbangan kepada pasaran bahawa pemotongan OPEC tidak akan berjaya mengimbangi pasaran ini,” kata William O’Loughlin penganalisis di Rivkin Securities.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat