Kombo ‘Double Trouble’ Gegarkan US Dolar! Ini Rumusan CPI & FOMC

563
  • Inflasi AS turun kepada 3.3% berbanding jangkaan untuk kekal pada 3.4%
  • Fed kekalkan kadar faedah di paras 5.50%
  • USD ketara susut di awal sesi NY, sebelum kukuh semula selepas mesyuarat FOMC

Sesi New York malam semalam digegarkan dengan terbitan laporan inflasi Amerika Syarikat (AS) yang menjadi petunjuk penting buat pasaran selain memberi impak yang besar.

Bacaan bagi data tahunan Indeks harga pengguna (CPI) AS catatkan peningkatan lebih perlahan dari ramalan untuk kekal pada 3.4%, iaitu menurun kepada 3.3%.

Sebaik sahaja angka tersebut diterbitkan, US dolar terus memberi reaksi dengan pelabur menyaksikan penyusutan ketara yang berlaku ke atas mata wang itu.

Ini adalah berikutan pasaran menukar kecenderungan untuk jangkaan Federal Reserve (Fed) bakal bersedia untuk beralih kepada pelonggaran dasar menerusi petunjuk awal itu.

Gelora tidak terhenti di situ apabila seterusnya, tumpuan kemudiannya beralih pula kepada mesyuarat FOMC pada jam 2 pagi tadi.

Menepati ramalan pasaran, kadar faedah masih dikekalkan tidak berubah di paras 5.50% dan perhatian diberikan kepada ucapan susulan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell.

US dolar kembali paparkan pengukuhan semula untuk mengurangkan separuh kerugian ketika penyusutan selepas data CPI diterbitkan di awal sesi.

Mengulas berkenaan penetapan kadar tersebut, Powell menyatakan pandangan bahawa bank pusat masih tidak melihat langkah pelonggaran dasar adalah bersesuaian untuk dilaksanakan pada ketika ini.

Fed akan terus meneliti data pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan inflasi sebelum benar-benar yakin untuk memulakan pemotongan kadar faedah.

Pasaran buruh dilihat masih baik selepas menilai laporan NFP yang terbaru, sementara inflasi dilihat menunjukkan penurunan namun masih berada jauh dari paras sasaran.

Unjuran kadar faedah oleh pegawai-pegawai Fed menunjukkan jangkaan hanya sekali sahaja pemotongan kadar akan dilakukan tahun ini, semakin menurun berbanding unjuran Mac lalu yang menjangkakan bakal ada 3 pemotongan kadar.

Tumpuan pasaran hari ini (Khamis) akan terarah pula pada data inflasi pengeluar (PPI) AS yang akan diterbitkan di awal sesi New York malam nanti.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat