Konsesi Tol Lebuh Raya Diambil Alih, Saham Gamuda Terus Susut

1,880

Saham Gamuda Bhd rendah sedikit pada pagi tadi di sebalik berita mengenai cadangannya agar empat lebuh raya bertolnya diambil alih oleh badan amanah lebih raya bernilai RM5.2 bilion.

Pada pukul 10.17 pagi, kaunter berkenaan susut satu sen kepada RM3.49 dengan 49,000 saham bertukar tangan.

Kumpulan pembangunan infrastruktur dan hartanah terbabit dilaporkan memberi cadangan kepada kerajaan untuk menjual empat konsesi lebuh rayanya kepada badan amanah yang dikenali sebagai Amanah Lebuhraya Sdn. Bhd.

Lapor Bernama, badan amanah tersebut akan membiayai pengambilalihan itu dengan mendapatkan wang daripada pelabur bon yang menjanjikan pulangan tahunan antara 4.0% dan 5.0%, disokong aliran tunai daripada tol tersebut tanpa memerlukan jaminan kerajaan.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Kenanga Investment Bank Bhd berpendapat badan amanah lebih raya berkenaan merupakan idea yang baik kerana akan memanfaatkan Gamuda serta kerajaan selain perniagaan dan rakyat di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Dengan melaksanakan cadangan ini, kita lihat kerajaan merupakan penerima manfaat terbesar kerana dapat menjimatkan pampasan tol berjumlah RM5.3 bilion ke atas tempoh berbaki konsesi tol.

“Ini secara tidak langsung akan membantu Gamuda meningkatkan ekuiti inisiatif pendanaan swasta untuk mengaktifkan semula projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dirancang. Ini bererti mengurangkan beban kewangan dan pada masa yang sama, merangsang ekonomi,” jelasnya.

Firma penyelidikan berkenaan turut yakin cadangan baharu itu adalah lebih baik berbanding model yang dicadangkan pada 2019 iaitu kerajaan perlu menjadi penjamin dan menyarankan model caj kesesakan yang boleh mengganggu aliran trafik di lebuh raya atau pengangkutan awam yang bersaing.

Oleh itu, Kenanga Investment mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas saham Gamuda dengan harga sasaran pada RM4.17.

Sementara itu, CGS-CIMB Securities berpendapat Gamuda mungkin menggunakan hasil jualan terbabit untuk membiayai sebahagian dana projek Penang South Islands 10 tahun dan berkemungkinan mempunyai pembayaran dividen khas.

Firma tersebut mengekalkan saranan ‘tambah’ kepada saham syarikat itu selain menurunkan harga sasaran sebanyak 10% kepada RM4.18 sesaham.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat