Pasaran memulakan dagangan minggu ini dengan sentimen yang lebih baik selepas menyaksikan matawang utama meningkat lebih tinggi berbanding US dolar.
Pelabur masih berharap pakej rangsangan bernilai $1.9 trilion oleh Presiden Joe Biden akan diluluskan oleh Kongres dalam waktu terdekat.
Namun, terdapat kebimbangan baru selepas Senator Republik menyatakan rasa tidak senang hati mereka terhadap pakej bantuan tersebut yang disifatkan terlalu besar dan tidak melihat keperluan untuk meluluskannya.
Ini boleh membawa kekangan buat pentadbiran Joe Biden untuk meluluskan pelaksanaannya lebih cepat bagi menyokong rakyat dan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Hal ini mungkin antara faktor yang menyokong matawang US dolar untuk kembali meningkat pada awal sesi Eropah.
Ketegangan semakin meningkat menjelang keputusan Federal Reserve pada hari Khamis. Bank pusat dijangka akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah dan menolak untuk pengurangan dalam skim pembelian bonnya.
Matawang pound kembali memaparkan penurunan ketika US dolar kembali meningkat, namun kekal didagangkan kukuh di sekitar tahap tertinggi lebih 2 tahun di bawah paras harga 1.37000.
Sementara itu, matawang euro sedikit susut ketika tumpuan pasaran kini terarah kepada Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) yang memberi ucapan pada hari ini dan mungkin menyentuh lebih lanjut mengenai ekonomi atau dasar semasa.