Meminati Microsoft Excel Sejak Kecil, Kini Jadi Pengasas Matawang Kripto

1,721

Vitalik Buterin merupakan seorang programmer berdarah kacukan Kanada dan Russia dan seorang penulis yang dikenali kerana mengasaskan Ethereum, matawang kripto terkemuka dunia.

Sebelum berjaya mencipta nama dalam dunia matawang kripto, Buterin menjalani sebuah kehidupan yang unik. Ketika zaman kecilnya, beliau amat berbeza berbanding kanak-kanak yang seusia dengannya kerana meminati Microsoft Excel dan menjadikannya sebagai permainan kegemarannya.

Beliau dilahirkan di Moscow kemudiannya berpindah ke Kanada ketika berusia 5 tahun. Seterusnya, salah seorang guru Buterin mendapati bahawa beliau merupakan seorang pelajar yang sangat pintar. Hal ini kerana beliau mampu untuk mengira hasil tambah 3 angka hanya di dalam kepalanya dengan kelajuan 2 kali ganda berbanding rakan-rakannya yang lain.

Meskipun umurnya masih terlalu muda, bapanya telah memperkenalkan sebuah konsep yang akan berfungsi sebagai sebiji benih yang kecil yang akan berkembang pada tahun akan datang,iaitu Bitcoin. Sehubungan dengan itu, minatnya terhadap matawang kripto telah tercetus.

Oleh yang demikian, beliau mula mempelajari tentangnya dengan lebih lanjut melalui medium persidangan dan ceramah-ceramah yang berkaitan. Berdasarkan minat dan obsesinya, beliau telah menjana idea kreatif yang menfokuskan kepada perkembangan teknologi.

Berikutan dengan perasaan ingin tahu yang mendalam berkaitan dengan matawang kripto, Buterin banyak menghabiskan masanya untuk belajar sehingga beliau memutuskan untuk berhenti daripada kolej. Setelah itu, Buterin mengembara ke seluruh dunia untuk berbincang dan mempelajari tentang Bitcoin dengan lebih lanjut.

Dengan keazaman dan kesungguhan yang tinggi, beliau berjaya menulis hasil kajiannya dan menerbitkan sebuah kertas putih pada tahun 2013. Kerja kerasnya itu telah berjaya menarik perhatian sebuah syarikat yang dikenali sebagai Peter Thiel Fellowship dan berjaya memperoleh ganjaran sebanyak $100,000.

Tidak lama kemudian, Buterin telah menubuhkan Ethereum Foundation untuk menjalankan penyelidikan tentang matawang kripto. Dalam tahun yang sama, beliau telah mengumumkan penjualan Ethereum dan pengenalan perlombongan Ethereum serta melancarkan sebuah blog.

Teknologi blockchain yang dilancarkan oleh beliau bukan hanya sebuah matawang digital tapi juga menjalankan fungsi yang lain. Contohnya, matawang kripto tersebut mempunyai kontrak dan sebuah mesin maya Ethereum. Di samping itu, matawang berkenaan boleh digunakan untuk kontrak peer-to-peer melalui sebuah ‘kontrak pintar’ yang memudahkan perundingan dan perjanjian.

Selain itu, kontrak pintar tersebut turut memberikan jaminan yang lebih besar berbanding kontrak biasa dengan kos yang lebih rendah. Oleh itu, ianya berjaya mendapat sokongan daripada kebanyakan syarikat terkemuka seperti Toyota, Merck, ING dan banyak lagi.

Baru-baru ini, beliau telah ditawarkan untuk menyertai pembinaan teknologi blockchain yang menggunakan kontrak pintar di syarikat-syarikat Fortune 500.

Kini, nama ethereum tidak asing lagi daripada dunia matawang kripto bahkan memperoleh kedudukan kedua selepas Bitcoin. Hebat, bukan? Mungkin kisah inspirasi ini dapat menjadi pemangkin semangat anda untuk mula melibatkan diri dalam matawang kripto.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat