Microsoft ‘Back Up’ Epic Games Dalam Perbalahan Fortnite

171

Perbalahan antara Apple dan Epic Games yang masih hangat berikutan tindakan firma gergasi itu membuang aplikasi permainan popular, Fortnite akhirnya mendorong Microsoft untuk campur tangan.

Seorang jurutera berpengalaman Microsoft memberitahu tindakan Apple menyekat akaun Epic Games sebenarnya memberi impak besar kepada pencipta permainan digital termasuk Microsoft kerana sekatan itu turut menghadkan penggunaan Unreal Engine milik Epic.

Unreal Engine merupakan satu platform enjin permainan yang mana digunakan secara meluas terutama melibatkan penyediaan kerangka kerja seperti grafik 3D.

Ini bermakna jika Unreal Engine tidak dapat menyokong pembinaan permainan untuk iOS atau macOS, Microsoft terpaksa membuat keputusan sama ada untuk mengabaikan pengguna sistem operasi tersebut atau memilih enjin permainan yang lain untuk pembinaan permainan baharu.

Impak tersebut juga tidak hanya terhad kepada firma Microsoft, tetapi juga melibatkan keseluruhan industri permainan digital, baik pembina permainan serta peminat permainan digital.

Isu ini bermula dengan tindakan Epic Games yang mengetepikan polisi Apple dalam pembaharuan permainan Fortnite.

Berikutan daripada kejadian itu, Apple akhirnya membuang permainan itu daripada App Store sebelum disaman Epic, termasuk mengugut untuk menyekat pengaksesan Epic terhadap alat pembinaan perisian termasuk Unreal Engine pada Jumaat lalu.

Dilaporkan Epic telah membuat rayuan kepada pihak mahkamah untuk menghalang Apple bertindak demikian untuk sementara waktu sementara pihak terlibat menyiasat perkara ini dengan lebih jelas.

 

 

 

 

 

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat