Minit FOMC : Ketidakpastian COVID-19 Boleh Bantutkan Pemulihan Ekonomi

275

Minit mesyuarat FOMC yang dikeluarkan pada awal pagi ini, memperlihatkan kebimbangan berterusan Federal Reserve (Fed) terhadap ketidakpastian dan risiko yang dicetuskan oleh COVID-19 terhadap pemulihan ekonomi AS.

Ahli Federal Reserve (Fed) mengakui bahawa ketidakpastian yang sangat tinggi pandemik coronavirus sehingga menyebabkan kejatuhan dalam ekonomi dilihat kurang membantu untuk unjuran terhadap prospek akan datang.

Fed mengatakan krisis kesihatan ke atas masyarakat akibat coronavirus telah menimbulkan risiko yang cukup besar terhadap prospek ekonomi dalam jangka masa sederhana, sekali gus melenyapkan tanggapan bahawa AS akan mengalami pemulihan yang cepat.

Jika sebelum ini, Fed menjangkakan ekonomi akan mula pulih pada separuh kedua tahun ini, namun, berdasarkan senario terbaru, gelombang kedua pandemik coronavirus dijangka akan berlaku pada akhir tahun ini yang disusuli satu lagi sekatan ke atas sosial dan operasi perniagaan.

Ini sekali gus akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi (GDP) AS untuk merosot lebih rendah, sementara kadar pengangguran pula terus tinggi dan tekanan penurunan terhadap inflasi juga semakin bertambah.

Setakat ini, kesemua negeri di seluruh negara AS dilihat telah mula membuka semula beberapa aktiviti ekonomi mereka, walaupun diberi amaran bahawa pembukaan semula boleh menimbulkan risiko gelombang kedua.

Mesyuarat FOMC baru-baru ini bagaimanapun berakhir dengan kadar faedah tidak berubah pada julat sasaran 0% hingga 0.25%, sementara program pembelian bon pula kekal diteruskan.

Fed menegaskan bahawa kadar faedah akan kekal di tahap semasa sehingga ekonomi kembali pulih daripada COVID19 serta berada di landasan untuk mencapai sasaran pekerjaan penuh dan inflasi.

Dalam pada itu, pembuat dasar juga bersetuju bahawa Fed komited untuk menggunakan kesemua alat monetari yang ada untuk menyokong ekonomi AS yang dilanda krisis pandemik coronavirus.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat