New Zealand Bakal Longgarkan Sekatan, Dolar Kiwi Kembali Melonjak

289

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden hari ini mengumumkan bahawa negara itu akan melonggarkan beberapa sekatan pada minggu hadapan setelah satu bulan melaksanakan perintah berkurung sebagai usaha untuk membendung penularan wabak coronavirus.

Bercakap di Beehive di Wellington, Arden berkata New Zealand akan menamatkan sekatan tahap empat pada 27 April dan mula menguatkuasakan sekatan tahap tiga sekurang-kurangnya selama 2 minggu.

Di bawah peraturan sekatan tahap tiga, lebih banyak aktiviti ekonomi, termasuk industri pembinaan, pembuatan dan perhutanan dibenarkan untuk kembali beroperasi.

Selain itu, sekatan tahap tiga juga bermaksud, rakyat tetap perlu tinggal di rumah memandangkan aktiviti sosial masih dihadkan walaupun sesi persekolahan akan dibuka semula secara beransur-ansur, dengan kehadiran adalah secara sukarela.

Penilaian seterusnya akan dilakukan pada 11 Mei bagi memutuskan sama ada pelonggaran selanjutnya sesuai untuk dilaksanakan.

Sejak menguatkuasakan perintah berkurung sepenuhnya pada 26 Mac, negara ini menyaksikan penurunan dalam kadar jangkitannya serta telah mencatatkan kurang daripada 20 kes baru selama 9 hari berturut-turut.

Secara keseluruhannya, sebanyak 1,440 orang rakyat yang dilaporkan telah dijangkiti coronavirus di New Zealand dan melibatkan 12 kematian. Pada Isnin, sebanyak 9 kes baru telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan.

Perkembangan positif ini telah mengangkat dagangan dolar New Zealand untuk kembali mencatatkan peningkatan berbanding sekumpulan matawang utama lain setelah didagangkan lemah pada awal sesi Asia hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat