Pengumuman Vaksinasi Fasa Empat Ubah Sentimen Pasaran Saham

217

Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, meningkat semula berbanding penurunan semalam susulan pengumuman kerajaan untuk memulakan program vaksinasi kepada pekerja dalam sektor ekonomi kritikal di bawah fasa empat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.0 mata kepada 1,584.48 daripada 1,581.48 ketika ditutup semalam.

Bernama melaporkan, indeks itu dibuka 1.87 mata lebih tinggi kepada 1,583.35 hari ini.

Suasana pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 220 kepada 188, manakala 283 kaunter tidak berubah, 1,469 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 472.02 juta unit bernilai RM184.07 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi notanya hari ini berkata, pengumuman kerajaan untuk memulakan pemberian vaksinasi kepada pekerja dalam sektor ekonomi kritikal telah mengubah sentimen pelabur kepada nada positif.

“Mengikut sektor, harga minyak sawit mentah (MSM) meneruskan penurunannya, manakala harga minyak mentah kekal tidak berubah pada sekitar AS$72 setong.

“Justeru, kami menjangka kaunter pengangkutan dan logistik akan terus mencatatkan prestasi baik di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan,” jelasnya.

Tambah firma penyelidikan itu, saham bertemakan pemulihan mungkin menjadi tumpuan dalam masa terdekat berikutan sentimen pasaran yang lebih baik selepas peningkatan kadar vaksinasi di negara ini.

“Malah, kaunter perladangan mungkin meraih sokongan daripada perjanjian pengambilalihan IJM Plantations,” ujarnya.

Semalam, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) mengumumkan cadangannya untuk mengambil alih 494.87 juta saham di IJM Plantations Bhd daripada IJM Corp Bhd pada RM1.53 bilion.

IJM Plantations kemudiannya menjadi salah satu daripada kaunter untung pagi ini, menokok 53 sen kepada RM2.99 dengan 3.18 juta saham bertukar tangan, manakala KLK naik 28 sen kepada RM22.04 dengan 53,200 saham diniagakan.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 akan bekerjasama dengan anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik Kementerian Kesihatan, Protect Health Corporation Sdn Bhd untuk menguruskan pengendalian suntikan vaksinasi kepada sektor itu.

Dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan semalam, Khairy mengatakan sektor industri yang terlibat ialah pembuatan, eksport, logistik, pengangkutan, tenaga, utiliti dan lain-lain yang berkaitan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.20, Public Bank naik dua sen kepada RM4.22, PetChem meningkat lapan sen kepada RM8.13 dan TNB menokok tiga sen kepada RM9.96.

Bagi saham aktif, Vsolar tidak berubah pada dua sen, Cuscapi menambah 1.5 sen kepada 29 sen dan Managepay turun dua sen kepada 24.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 29.51 mata kepada 11,556.12, Indeks FBMT 100 naik 26.44 mata kepada 11,241.02 dan FBM ACE meraih 31.17 mata kepada 7,698.98.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 41.65 mata kepada 12,710.52 dan FBM 70 mengukuh 55.19 mata kepada 14,958.46.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 6.16 mata kepada 15,289.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.58 mata kepada 192.87 dan Indeks Perladangan susut 63.67 mata kepada 6,814.89.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat