Perjanjian Nuklear Iran – Biden Enggan Tarik Balik Sekatan

902

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan beliau tidak akan menarik balik sekatan ekonomi terhadap Iran sehinggalah negara berkenaan mematuhi terma yang dipersetujui dalam perjanjian nuklear 2015.

Kenyataan itu dilontarkan oleh Biden sewaktu ditemu bual oleh CBS News semalam.

Membalas kenyataan Biden itu, Pemimpin Tertinggi Iran iaitu Ayatollah Ali Khamenei berkata, Tehran hanya akan kembali mematuhi terma-terma terbabit jika AS menarik balik sekatan ekonomi.

“Kami akan meneliti dan sekiranya kami melihat mereka telah bertindak secara telus dalam soal ini, kami akan kembali meneruskan komitmen kami,” kata Ayatollah.

Perjanjian itu dilaksanakan bagi mengehadkan program nuklear Iran dan sekatan ekonomi terhadap Tehran akan dilonggarkan.

Bekas Presiden AS, Donald Trump berundur daripada perjanjian tersebut pada 2018 dan kembali mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran.

Trump mahu mengenakan sekatan ke atas program nuklear Iran serta menghentikan perkembangan penghasilan peluru berpandu balistiknya.

Iran bagaimanapun menolak. Pada Julai 2019, Tehran telah melanggar had bekalan pengayaan uranium iaitu 3.67%.

Iran yang mendakwa program nuklearnya adalah dilakukan secara aman, telah meningkatkan bekalan uranium yang diperkaya sehingga 20% pada Januari lalu.

Uranium yang diperkaya dapat digunakan bukan sahaja untuk menghasilkan bahan bakar reaktor tetapi juga bom nuklear.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat