Ringgit Dibuka Positif Hujung Minggu, Data Ekonomi AS Melemah

101

Ringgit dibuka lebih tinggi pada hari Jumaat berbanding dolar AS berikutan permintaan yang lebih lemah untuk mata wang gergasi dunia selepas data ekonomi Amerika Syarikat menunjukkan kelemahan.

Pada jam 10.40 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.7000 berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.7020 pada Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata keputusan KDNK suku pertama 2024 AS turun lebih rendah pada 1.3% tahunan suku ke suku daripada anggaran pertama 1.6%.

Laporan pertumbuhan utama ekonomi iaitu data Perbelanjaan Pengguna Peribadi (PCE) diramalkan turun kepada 2.0% daripada anggaran pertama sebanyak 2.5%.

Selain itu, Indeks Dolar AS (DXY) jatuh di bawah 105 mata dan nota Perbendaharaan AS 2 dan 10 tahun menghasilkan lebih rendah sebanyak lima (4.92%) dan tujuh mata asas (4.55%) masing-masing.

Cetakan KDNK terkini nampaknya telah menghidupkan semula pandangan bahawa Federal Reserve AS perlu mengurangkan kadar tahun ini untuk mengekalkan KDNK dalam pertumbuhan jangka panjangnya sebanyak 1.8 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu jatuh berbanding euro kepada 5.0906/0971 daripada 5.0838/0892 pada penutupan Khamis, susut berbanding pound Britain kepada 5.9826/9903 daripada 5.9767/9831 dan lebih rendah berbanding yen Jepun daripada 2.9959/9992 semalam.

Ringgit bercampur-campur berbanding rakan rantau Asean lain.

Ia susut berbanding baht Thailand kepada 12.8125/8334 daripada 12.7727/7908 pada penutup Khamis dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4812/4859 daripada 3.4791/4833.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 288.9/289.4 daripada 289.0/289.4 semalam dan didagangkan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.02/8.04 daripada 8.02/8.03 sebelumnya. – Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat