Rundingan AS-China : China Minta Pembatalan Tarif Lagi?

314

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin akan berbicara melalui panggilan telefon dengan Naib Perdana Menteri China Liu He pada hari ini, dalam usaha untuk mengukuhkan lagi perjanjian perdagangan baru-baru ini.

Melalui perbicaraan itu, mereka akan berbincang mengenai rancangan China untuk membeli lebih banyak lagi produk pertanian Amerika Syarikat (AS), dan sebagai balasan, China akan meminta pembatalan ke atas tarif yang bakal dilaksanakan dan sedia ada ke atas barangan import China.

Terdahulu, kedua-dua pihak dilaporkan sedang berusaha menyiapkan teks untuk perjanjian perdagangan fasa pertama yang telah diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pada 11 Oktober lalu, dan dijangka akan ditandatangani bersama Presiden China Xi Jinping di sidang kemuncak Chile pada bulan depan.

Setakat ini, Trump hanya bersetuju untuk membatalkan kenaikan tarif pada 15 Oktober yang bernilai $250 bilion ke atas barangan China sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dipersetujui selain pembelian produk pertanian, akses pasaran perkhidmatan kewangan China, perlindungan yang lebih baik untuk hak harta intelek dan perjanjian mata wang.

Bagi memuktamadkan perjanjian tersebut, China dikatakan akan meminta AS untuk membatalkan pelaksanaan tarif ke atas barangan bernilai $156 bilion yang dijadualkan akan bermula pada 15 Disember tahun ini, menurut sumber yang memberitahu Reuters.

Selain itu, mereka juga mungkin memohon pembatalan tarif sebanyak 15% yang mula dilaksanakan pada 1 September yang bernilai kira-kira $125 bilion setelah gagal mendapatkan rundingan pada Ogos lalu.

Sebelum ini, Steven Mnuchin ada mengatakan bahawa pihak pentadbiran Trump tidak membuat sebarang keputusan terhadap tarif yang bakal dilaksanakan pada 15 Disember, tetapi akan memaklumkannya kemudian memandangkan perbincangan masih diteruskan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat