Rusia Didakwa Sebar Maklumat Palsu Vaksin AS

341

Amerika Syarikat (AS) mengenalpasti tiga agensi berita Rusia yang didakwa ‘memburuk-burukkan’ vaksin Covid-19 buatan AS iaitu Pfizer dan Moderna.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS semalam, kesemua agensi berita terbabit menerima arahan daripada jabatan perisikan Rusia.

Ujar jurucakap terbabit, ketiga-tiga agensi berkenaan menyebarkan banyak maklumat palsu selain vaksin Pfizer dan Moderna termasuklah berkaitan organisasi antarabangsa, konflik ketenteraan, protes dan sebarang isu yang boleh dieksploitasi oleh mereka.

Tambah jurucakap tersebut, Pusat Penglibatan Global Jabatan Negara yang ditubuhkan untuk menentang kempen propaganda dan maklumat palsu itu, telah mengenalpasti identiti agensi berita berkenaan.

Identiti agensi berita itu adalah News Front, New Eastern Outlook dan Oriental Review. News Front dikawal oleh agensi keselamatan Rusia manakala New Eastern Outlook dan Oriental Review dikawal oleh jabatan perisikan luar Kremlin.

“Jabatan Negara akan terus mendedahkan kegiatan jahat dalam talian Rusia. Kami akan terus bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi untuk memberikan tindak balas global untuk menentang penyebaran maklumat palsu,” kata jurucakap itu.

Wall Street Journal (WSJ) terlebih dahulu melaporkan mengenai tindakan Kremlin itu semalam.

Jurucakap Kremlin bagaimanapun menafikan dakwaan Rusia menyebarkan maklumat palsu tentang vaksin yang dilaporkan oleh WSJ.

Sementara itu, Kedutaan Rusia di Washington juga tidak memberikan sebarang komen sehingga kini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat