Saham Global Jatuh Menjelang Mesyuarat Bank Pusat Utama

378

Saham global menurun sementara dolar mengukuh apabila pelabur menanti keputusan mesyuarat bank-bank pusat pada minggu ini dengan tumpuan utama terarah pada Federal Reserve (Fed).

Fed dijangka akan beri isyarat pengurangan pembelian aset dengan lebih pantas yang akan menyaksikan juga kenaikan kadar faedah lebih cepat. Jawatankuasa penetapan dasar Fed turut mengemas kini undian kadar oleh ahlinya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Dolar kekal melonjak menjelang mesyuarat minggu ini dengan pelabur menjangkakan Fed menaikan kadar faedah pada 2022.

Tumpuan turut terarah kepada mesyuarat European Central Bank (ECB), Bank of England (BoE )dan Bank of Japan (BOJ) dalam menentukan dasar monetari mereka.

Kebimbangan varian Omicron memberi kesan kepada pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah selepas Perdana Menteri UK, Boris Johnson memberi amaran mengenai ‘gelombang ‘ baharu kes varian tersebut dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut menimbulkan risiko global ‘sangat tinggi’ dengan memberi petunjuk vaksin sedia ada tidak mampu melawannya.

Indeks FTSE susut 0.83% dengan STOXX 600 pan-Eropah jatuh 0.43% dan tolok saham MSCI seluruh dunia turun 0.80%.

Indeks purata Dow Jones Industrial jatuh 320.04 mata atau 0.89% pada 35,650.95, S&P susut 43.05 mata atau 0.91% pada 4,668.97 dan Nasdaq Composite turun 217.32 atau 1.39% pada 15,143.28.

Indeks dolar naik 0.27% dengan Euro jatuh 0.01% pada $1.1282 kerana terdedah kepada kenaikan kadar AS terhadap jangkaan Fed akan mengetatkan dasar lebih cepat daripada ECB.

Penanda aras hasil perbendaharaan 10 tahun AS susut dan keluk hasil mendatar apabila peniaga bersiap sedia untuk nada hawkish daripada Fed pada mesyuarat mereka.

Hasil nota perbendahraan 10 tahun turun 6.5 mata asas pada 1.424% dan hasil bon perbendaharaan 30 tahun jatuh 6.7 mata asas pada 1.817%.

Mesyuarat ECB pada Khamis berkemungkinan mengesahkan skim rangsangan kecemasan pandemik bernilai 1.85 trilion Euro atau $2.09 trilion akan berakhir pada Mac 2022 dan jangkaan bagi kenaikan kadar pada mesyuarat BOE telah ditarik balik kerana Omicron menambah kebimbangan mengenai prospek ekonomi jangka pendek.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 1.01% atau $74.39 setong sementara harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS susut 0.53% pada $71.29.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat