Selepas Data Ekonomi Zon Eropah Mengecewakan, Fokus Terarah Pada Data Inflasi UK

297

Bacaan awal bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) di Jerman menguncup kepada -0.1% untuk suku tahun kedua 2019, menepati ramalan penurunan oleh pasaran daripada peningkatan kadar pertumbuhan pada 0.4% untuk suku pertama.

Justeru itu, pasaran terus mengekalkan jangkaan terhadap risiko kegawatan bagi ekonomi terbesar di zon Eropah tersebut.

Menyusul selepas data Jerman tersebut adalah bacaan akhir bagi kadar inflasi di Perancis yang menepati ramalan kekal menguncup pada kadar -0.2% untuk bulan Julai sama seperti bulan sebelumnya.

Bacaan data yang kurang memberangsangkan akan mengekalkan risiko terhadap dagangan dolar Euro dan turut mendorong penurunan pada matawang Eropah tersebut.

Tumpuan para pelabur seterusnya pada sesi dagangan Eropah akan terarah pada data ekonomi Britain dengan fokus utama adalah pada bacaan kadar inflasi tahunan.

Berdasarkan data, pasaran menjangkakan indeks harga pengguna untuk bacaan bulan Julai bakal mencatatkan penurunan kembali kepada 1.9% berbanding 2.0% pada bulan sebelumnya dan ini bakal memberi tekanan buat dagangan matawang British.

Pound Sterling pada Selasa didagangkan di sekitar paras terendah dua setengah tahun mencecah paras 1.20150 berbanding dolar Amerika Syarikat ekoran situasi Brexit tanpa perjanjian (no-deal Brexit) mendominasi sentimen walaupun data pertumbuhan gaji di United Kingdom merekodkan kenaikan tertinggi 11 tahun.

Data pekerjaan yang kukuh akan memberikan tekanan buat Bank of England (BOE) untuk keputusan mengekalkan kadar faedah. Pada waktu ini, pasaran wang memberi peluang 68% untuk pengurangan kadar satu suku tahun pada penghujung Disember ini.

Perdana Menteri Boris Johnson yang mengambil alih tampuk pimpinan pada bulan lalu telah memberi jaminan bagi pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah pada 31 Oktober ini, dengan atau tanpa perjanjian. Kesatuan Eropah setakat ini menyatakan bahawa rundingan semula tidak akan berlaku.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat