US dolar didagangkan bercampur-campur dengan memaparkan kenaikan berbanding matawang utama, tetapi menyusut rendah berbanding safe-haven yen dan swiss franc di tengah sentimen berisiko yang menguasai pasaran.
Data ekonomi dari China yang lemah, ketegangan di Timur Tengah dan penularan varian Delta di AS yang semakin meluas telah mendorong pelabur untuk mendapatkan perlindungan daripada safe-haven pada awal minggu.
Greenback susut lebih rendah berbanding yen dengan mengalami kerugian sekitar 1% dalam dua sesi terakhir, sementara euro pula merosot ke paras terendah sejak akhir Mac berbanding yen.
Matawang swiss franc pula turut mengekalkan keuntungannya berbanding US dolar, dan didagangkan lebih tinggi berbanding euro di paras ketinggian 9 bulan yang dicapainya pada awal bulan ini.
US dolar, yang juga dianggap sebagai matawang safe-haven, diniagakan lebih kukuh berbanding pesaing utamanya yang lain, termasuk euro dan matawang komoditi.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diniagakan meningkat pada 92.67.
Situasi Covid-19 di AS semakin memburuk selepas lima negeri dilaporkan telah memecah rekod purata jumlah kes baru setiap hari pada hujung minggu, ketika penularan varian Delta meningkatkan kadar kemasukan ke hospital di seluruh negara dan memaksa banyak negeri melaksanakan semula sekatan kesihatan awam.
Data mengenai penjualan runcit AS dan output industri yang akan dikeluarkan pada malam ini akan menjadi fokus terbesar seterusnya untuk pasaran.
Suasana berisiko turut terkesan dengan perkembangan di Afghanistan setelah Taliban merampas ibu negara, walaupun kesan langsung terhadap pasaran dilihat terbatas setakat ini, menurut penganalisis.