Setelah Melonjak 400 Pips, GBP/USD Susut Semula 200 Pips Minggu Lalu

385

Pastinya pasangan matawang GBP/USD menjadi perhatian pasaran sejak minggu lalu susulan peristiwa penting dalam kalendar ekonomi bagi Britain iaitu pilihan raya parlimen pada Khamis lalu.

Menepati ramalan kemenangan bagi Parti Konservatif kerajaan, Boris Johnson berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri UK dan bakal meneruskan hala tuju perancangan bagi memuktamadkan pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah.

Susulan kemenangan tersebut, Pound Sterling telah mendominasi pasaran kewangan dengan menjadi matawang paling kukuh didagangkan pada minggu lalu.

Pengukuhan Pound jelas dipamerkan pada carta harga GBP/USD dengan lonjakan sekitar 460 pips mencapai paras ketinggian terbaru sejak Mei 2018.

Sebelum itu, dapat diperhatikan penurunan harga pada GBP/USD sekitar 170 pips menguji garisan trendline sebelum pengesahan kemenangan Parti Konservatif melonjakkan pergerakan harga.

Namun menuju penutup dagangan minggu lalu pada Jumaat, harga membuat pembetulan harga dengan penurunan sekitar 200 pips hampir menyentuh paras tumpuan 1.33000.

Memulakan dagangan pada minggu ini, harga masih berada di atas garisan Moving Average 50 (MA50) pada pergerakan harga bagi rangka masa 1 jam pada GBP/USD. Ini menunjukkan kecederungan harga untuk masih kekal bergerak di paras tinggi.

Pergerakan harga GBP/USD pada sesi Asia menunjukkan kenaikan sekitar 60 pips walaupun pengukuhan harga dilihat tidak begitu ketara menantikan pembukaan sesi pasaran Eropah.

Dengan momentum pengukuhan yang berjaya dikekalkan, harga bakal meneruskan kenaikan semula menguji paras ketinggian yang dicapai minggu lalu pada 1.35100.

Harga yang berjaya melepasi paras tersebut bakal mencatatkan paras ketinggian terbaru pada tahun ini dan tertinggi sejak Mei 2018.

Namun, jika harga membuat penurunan semula dan melepasi garisan MA50, paras sekitar zon harga 1.31800 dilihat menjadi tumpuan pasaran sebelum harga meneruskan semula kenaikan.

Tumpuan paras lebih rendah bagi penurunan harga adalah pada 1.30700 iaitu paras lonjakan harga pada minggu lalu.

Lihat gambar carta pasangan matawang GBP/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat