Kerajaan AS akan membayar Pfizer Inc hampir $ 2 bilion untuk 100 juta dos tambahan vaksin Covid-19 untuk meningkatkan bekalannya ketika negara itu mengalami lonjakan kes jangkitan di seluruh negara.
Selain itu, syarikat tersebut akan memberikan sekurang-kurangnya 70 juta dos pada 30 Jun dan selebihnya selewat-lewatnya pada 31 Julai, lalu menjadikan jumlah keseluruhan dos menjadi 200 juta dengan harga keseluruhan sekitar $ 4 bilion.
Di samping itu, perjanjian tersebut dimaterai ketika peningkatan kes jangkitan Covid-19 AS mencatatkan lebih dari satu juta kes baru hanya dalam tempoh 6 hari.
Untuk pengetahuan semua, vaksin Pfizer telah dilancarkan di seluruh negara setelah suntikan dos tersebut mendapat kelulusan penggunaan kecemasan awal bulan ini.
Menurut Setiausaha Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS, Alex Azar, pembelian persekutuan baru ini dapat meningkatkan keyakinan rakyat Amerika bahawa negara berkenaan mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi.
Sementara itu, pemerintah juga memiliki pilihan untuk memperoleh hingga 400 juta dos tambahan vaksin.
Pada Isnin yang lalu, terdapat lebih daripada 600,000 rakyat Amerika telah menerima suntikan dos vaksin Covid-19 pertama mereka.
Setakat ini, suntikan pertama telah diberikan kepada pekerja kesihatan dan penghuni rumah penjagaan, serta beberapa pegawai tertinggi kerajaan manakala rakyat Amerika yang lain mungkin perlu menunggu giliran mereka dalam tempoh beberapa bulan lagi.