Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
KWSP mengumumkan beberapa perubahan dasar dan produk yang akan mula berkuat kuasa 1 Januari 2026. Fokus utama adalah memperkukuh simpanan persaraan, memperluas perlindungan sosial, dan meningkatkan pengalaman ahli.
Salah satu perubahan ketara ialah had pengeluaran untuk tujuan haji dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000. Langkah ini bertujuan untuk membantu ahli yang menerima tawaran menunaikan haji dari Lembaga Tabung Haji bagi menampung kos yang semakin meningkat.
Proses pengesahan baki akaun Tabung Haji juga akan dimansuhkan, memudahkan permohonan dan memberi ruang kepada ahli merancang ibadah haji dengan lebih lancar.
Selain itu, KWSP akan memperkenalkan i-Saraan Plus, khusus untuk pemandu e-hailing dan p-hailing. Program ini menawarkan insentif padanan kerajaan sehingga RM600 setahun, dengan had seumur hidup RM6,000.
Pemandu yang layak akan didaftarkan secara automatik oleh platform masing-masing bagi memudahkan potongan caruman.
Umur kelayakan i-Suri pula dilanjutkan dari 55 kepada 60 tahun, sejajar dengan umur persaraan minimum negara. Insentif padanan kerajaan kekal pada kadar 50% caruman tahunan, dengan had RM300 setahun dan RM3,000 sepanjang hayat.
Kerangka Pendapatan Persaraan (RIA) yang berkuat kuasa 2026 memperkenalkan tiga tahap simpanan: Asas (RM390,000), Mencukupi (RM650,000), dan Dipertingkatkan (RM1.3 juta).
KWSP menyesuaikan dasar pengeluaran bagi simpanan melebihi RM1 juta dengan membenarkan ahli bawah 55 tahun mengurus lebihan dana secara lebih fleksibel. Had pengeluaran lebihan akan meningkat secara berperingkat RM100,000 setiap tahun selama tiga tahun, bermula RM1.1 juta pada 2026.
Selaras dengan itu, kelayakan Skim Pelaburan Ahli (MIS) akan disesuaikan mengikut tahap simpanan Asas supaya pelaburan tidak mengganggu keperluan asas persaraan. Ini memperlihatkan usaha KWSP mengimbangi akses fleksibel dan perlindungan simpanan jangka panjang dalam suasana kos hidup yang meningkat.
Selain itu, KWSP memperkenalkan nama baharu untuk caruman sukarela iaitu i-Simpan (untuk caruman sendiri) dan i-Topup (caruman lebihan sukarela). Nama baru ini melengkapkan rangkaian produk sedia ada seperti i-Saraan, i-Sayang, i-Suri dan Akaun Persaraan Top-Up.


























































