Harga emas dilihat masih mengekalkan posisi ‘sideway’ pada sekitar $4,050 sejak beberapa minggu apabila pemain pasaran masih menilai hala tuju kadar faedah Fed serta memantau situasi konflik perang AS-Iran yang mampu menekan inflasi dunia ke paras tertinggi.
Pada jam 9 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,059 iaitu positif 0.40% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) tempoh 10 tahun kekal tinggi sekitar 4.7% apabila pelabur terus menilai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed).
Tumpuan pasaran minggu ini kini beralih kepada data ekonomi NFP AS yang dijangka memberi petunjuk sama ada Fed masih berpotensi menaikkan kadar faedah dalam mesyuarat akan datang.
Minggu lalu, Fed mengekalkan kadar faedah seperti yang dijangkakan. Pada masa sama, data ekonomi menunjukkan pertumbuhan AS semakin perlahan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang lebih rendah berbanding suku sebelumnya.
Inflasi teras PCE turut mencatat penurunan kecil, memberi isyarat bahawa tekanan harga semakin reda, namun masih berada di atas sasaran Fed.
Walaupun kadar dikekalkan, beberapa pegawai Fed memberi gambaran bahawa risiko inflasi masih belum berakhir.
Presiden Dallas Fed, Lorie Logan, Presiden Cleveland Fed, Beth Hammack dan Presiden Minneapolis Fed, Neel Kashkari masing-masing menyatakan kadar faedah semasa mungkin masih belum cukup ketat untuk memastikan inflasi kembali ke sasaran 2%.
Susulan perkembangan itu, jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah pada mesyuarat September semakin berkurangan.
Kebarangkalian Fed mengekalkan kadar kini lebih tinggi berbanding minggu lalu, mencerminkan keyakinan bahawa bank pusat berkemungkinan memilih untuk menunggu lebih banyak data ekonomi sebelum membuat keputusan seterusnya.
Pada masa sama, sentimen pengguna AS menunjukkan sedikit peningkatan, menandakan pengguna masih yakin terhadap keadaan ekonomi.
Namun, perkembangan geopolitik dan harga minyak mentah yang kekal tinggi terus menjadi faktor yang berpotensi meningkatkan semula tekanan inflasi, sekali gus kekal menjadi risiko utama yang akan diperhatikan pasaran sepanjang minggu ini.


















































