Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka susut sedikit berbanding dolar AS pada awal minggu ini apabila pelabur terus beralih ke aset selamat di tengah-tengah ketidakpastian daripada konflik berterusan di Asia Barat.
Pada jam 9:46 pagi, ringgit didagangkan pada 4.0140 iaitu menyusut 0.05% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa pasaran pertukaran asing berkemungkinan berada dalam mod penghindaran risiko susulan ketidakpastian peperangan AS-Iran yang terus menghantui sentimen pasaran.
Beliau turut menyatakan bahawa kenaikan Indeks Dolar AS (DXY) ke paras 100.328 mata, sekali gus mencerminkan kecenderungan pelabur untuk beralih kepada dolar AS sebagai aset selamat.
Dalam perkembangan lain, pengurus dana bon terkemuka seperti PIMCO dan JP Morgan menjangkakan peningkatan harga bon berikutan amaran bahawa konflik semasa berisiko membantutkan pertumbuhan ekonomi.
Menurut Mohd Afzanizam, pasaran kini akan memerhatikan data pasaran buruh Amerika Syarikat (AS), data pekerjaan NFP pada Jumaat ini.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang lain.
Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.3101/5.3340 daripada 5.3368/5.3414, melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.5044/2.5158 daripada 2.5084/2.5109 dan naik berbanding euro kepada 4.6108/4.6314 daripada 4.6197/4.6237 sebelum ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.1100/3.1244 daripada 3.1164/3.1194 dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.1624/12.2255 daripada 12.1903/12.2077.
Bagaimanapun, ia sedikit menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 236.3/237.4 daripada 236.1/236.5 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.62/6.66 daripada 6.62/6.63 sebelumnya. – BERNAMA


























































