Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ringgit memulakan dagangan Selasa dengan peningkatan sederhana berbanding dolar AS, namun momentum kekal terhad dalam persekitaran pasaran yang berhati-hati.
Pada jam 10 pagi, ringgit berada pada paras 4.0240 berbanding dolar AS iaitu positif 0.05% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Pengukuhan ini berlaku ketika Indeks Dolar AS (DXY) kekal bertahan di atas paras 100, didorong oleh aliran permintaan terhadap aset selamat susulan peningkatan risiko geopolitik global.
Dalam masa sama, pergerakan Indeks Dolar Asia Bloomberg yang lebih perlahan mencerminkan kestabilan relatif mata wang serantau, sekali gus menunjukkan tekanan terhadap ringgit lebih berpunca daripada kekuatan dolar global berbanding kelemahan domestik.
Sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh perkembangan di Timur Tengah, di mana konflik berterusan menjejaskan keyakinan terhadap prospek kestabilan.
Gangguan di Selat Hormuz serta kerosakan infrastruktur minyak dan gas di rantau Teluk dijangka mengambil masa panjang untuk dipulihkan, sekali gus menyokong jangkaan harga minyak kekal tinggi dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, ringgit dibuka lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding pound British kepada 5.3033/3211 daripada 5.3311/3403 pada penutupan Isnin, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5191/5278 daripada 2.5237/5282 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6128/6282 daripada 4.6294/6374 sebelumnya.
Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean.
Ia meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1160/1267 daripada penutupan semalam iaitu 3.1227/1284, lebih kukuh berbanding baht Thai pada 12.2483/2976 daripada 12.2558/2831, dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 236.8/237.7 daripada 236.9/237.4.
Ia tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.63/6.65.























































