Amerika Syarikat bersiap sedia untuk melancarkan siri serangan udara paling besar ke atas Iran susulan konflik Timur Tengah ke kawasan Laut Merah. Presiden Donald Trump mengesahkan beliau berada di ambang keputusan muktamad bagi melaksanakan amaran beliau berikutan tindakan kumpulan Houthi menyerang kapal tangki minyak Arab Saudi.
Peluasan medan pertempuran ini berlaku selepas Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) menyelesaikan gelombang serangan udara malam ke-13 berturut-turut ke atas sasaran strategik Iran. Di pihak Tehran, Pengawal Revolusi Iran bertindak balas dengan membedil pangkalan tentera AS di Jordan serta mengancam keterlibatan langsung pihak Israel.
Ketegangan geopolitik turut merebak ke Benua Eropah selepas Iran melabelkan Britain sebagai “rakan subahat” pencerobohan kerana membenarkan penggunaan pangkalan tenteranya oleh tentera AS. Tehran memberi amaran keras bahawa mana-mana negara Eropah yang memberi kemudahan logistik atau ruang udara kepada AS akan dianggap sebagai pihak penceroboh dan bakal berdepan tindak balas.
Tindakan agresif kumpulan Houthi mengenakan sekatan maritim di Selat Bab el-Mandeb telah memberi kesan aliran eksport minyak Arab Saudi secara terus. Pihak pentadbiran AS menerusi Setiausaha Negara Marco Rubio menegaskan Washington akan mengenakan tindak balas drastik ke atas Tehran sebagai dalang utama di sebalik serangan ejen proksinya.
Pasaran tenaga antarabangsa terus bertindak balas secara tidak stabil di sebalik kejatuhan singkat harga harian. Niaga hadapan minyak mentah Brent kekal bertahan mendatar di atas paras $99 setong, merekodkan trend kenaikan mingguan keseluruhan melebihi 10% ekoran kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak global.
























































