Pentadbiran Rumah Putih secara rasmi menguatkuasakan sekatan import ke atas kenderaan, produk tenusu, dan pelbagai minuman beralkohol buatan Kanada bernilai sekitar $19.9 bilion pada hari Selasa. Tindakan keras ini merupakan fasa terbaharu dalam pertikaian tarif balas-membalas yang semakin meruncing antara kedua-dua negara jiran Amerika Utara tersebut, membabitkan barangan pengguna harian daripada motosikal berkuasa tinggi (melebihi 800cc) hinggalah produk bir, wain, dan wiski.
Walaupun Presiden Donald Trump membayangkan potensi mencapai “perjanjian yang adil” dalam tempoh beberapa minggu lagi, beliau mengekalkan retorik konfrontasi dengan mendakwa Ottawa sering mengambil kesempatan ke atas A.S.
Walau bagaimanapun, kenyataan pegawai perdagangan kedua-dua belah pihak memaparkan realiti rundingan yang masih menemui jalan buntu. Wakil Perdagangan A.S. Jamieson Greer menegaskan Washington langsung tidak berasa terdesak untuk mencapai kata sepakat memandangkan A.S. masih menikmati bekalan sumber komoditi kritikal seperti minyak, gas dari Kanada tanpa sebarang gangguan.
Menteri Perdagangan Kanada Dominic LeBlanc menyelar tindakan Washington sebagai tarif haram yang menjejaskan perniagaan serta pekerja tempatan. Menegaskan bahawa Ottawa tidak menunggu untuk sebarang perjanjian yang merugikan kedaulatan negara. Perdana Menteri Mark Carney sebaliknya bertindak mengalihkan tumpuan diplomatik dengan merapatkan hubungan bersama Kesatuan Eropah (EU) serta menuduh Rumah Putih memperalatkan dasar ekonomi sebagai instrumen geopolitik.
Kanada sebelum ini telah mengenakan tarif balas antara 15% hingga 50% ke atas barangan A.S. bernilai CA$27.6 bilion sebagai tindak balas “dolar demi dolar” terhadap tarif Washington. Walaupun sekatan ini merangkumi pecahan kecil daripada jumlah perdagangan dua hala tahunan bernilai $715.5 bilion, Bank of Canada memberi amaran bahawa kebuntuan berlarutan bakal memukul sektor automotif dan logam, sekali gus memperhebat risiko inflasi dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi domestik.

























































