Pasaran saham Wall Street membuka tirai dagangan minggu baharu dengan pergerakan bercampur-campur tetapi cenderung meningkat secara sederhana pada hari Isnin, di tengah-tengah kalendar penerbitan data ekonomi dan laporan kewangan yang kurang. Indeks penanda aras S&P 500 naik 0.2% kepada 7,737.31 mata dan Nasdaq Composite melonjak 0.3% kepada 27,283.45 mata, manakala Dow Jones Industrial Average susut tipis 0.1% kepada 51,147.18 mata, tatkala tumpuan utama pelabur kekal terarah kepada dinamik pasaran bon berdaulat dan harga minyak mentah.
Sentimen positif pasaran saham sebahagian besarnya merupakan lanjutan daripada lonjakan penutup minggu lalu dimana ia dipacu oleh keluaran data pasaran buruh yang menyejuk serta kenyataan berhaluan dovish daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed). Angka pekerjaan yang lemah telah memantapkan jangkaan pasaran bahawa bank pusat A.S. akan memilih untuk mengekalkan kadar faedah tanpa sebarang kenaikan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada bulan Oktober.
Walau bagaimanapun, kebimbangan baharu mula menyelubungi pasaran pendapatan tetap global, terutamanya kemelut politik dan fiskal di Perancis. Penganalisis Deutsche Bank memberi amaran bahawa pergolakan pasaran hutang Perancis berpotensi mendominasi sentimen perdagangan sepanjang minggu ini selepas jurang hasil antara bon OAT Perancis 10 tahun dan Bunds Jerman mencatatkan rekod pelebaran mingguan terbesar sejak 1990. Ini sekali gus membangkitkan persoalan sama ada krisis hutang zon Eropah sedang berulang.
Di pasaran hutang domestik A.S., hasil nota Perbendaharaan 10 tahun kembali meningkat 2.4 mata asas kepada paras 5.304% pada hari Isnin. Peningkatan ini mencerminkan kewaspadaan pelabur yang masih menuntut premium hasil yang tinggi berikutan latar belakang inflasi dan bekalan bon yang banyak, meskipun lonjakan hasil sempat terbendung oleh data kelemahan penggajian NFP pada hari Jumaat lalu.
Sementara itu, tekanan di pasaran komoditi tenaga mula menunjukkan tanda-tanda kelegaan susulan keputusan negara-negara G7 yang bersetuju melepaskan 100 juta tong diesel dan minyak mentah daripada simpanan strategik kecemasan demi menyahut desakan Presiden Donald Trump. Walaupun aliran keluar minyak Asia Barat melepasi paras sebelum perang dalam empat daripada tujuh hari terakhir September, para pedagang tetap menganggap sektor tenaga sebagai risiko makro utama selagi ancaman keselamatan kapal tangki di Selat Hormuz belum reda sepenuhnya.




















































