Bullion kembali meningkat menghampiri $4,100 ada penghujung dagangan Rabu selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan tekanan harga terus reda. Perkembangan itu mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat Julai.
Pada jam 9 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,047 iaitu susut 0.32% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Data Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS bagi Jun meningkat 5.5% berbanding tahun lalu, lebih rendah daripada 6.0% pada Mei dan di bawah jangkaan pasaran 6.2%. Secara bulanan pula, PPI susut 0.3%, sekali gus memberi isyarat bahawa tekanan inflasi di peringkat pengeluar semakin berkurangan.
Susulan data tersebut, jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah Fed pada Julai terus menurun. Kebarangkalian kenaikan kadar kini sekitar 10.2%, berbanding 16.6% sebelum data PPI diumumkan. Sebelum ini, data CPI AS juga menunjukkan inflasi pengguna lebih rendah daripada jangkaan.
Bagaimanapun, ketegangan geopolitik masih menjadi faktor utama yang mempengaruhi pasaran.
Amerika Syarikat dilaporkan melancarkan serangan baharu ke atas Iran, manakala Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa tindakan lebih agresif akan diambil jika Tehran enggan kembali ke meja rundingan.
Konflik di sekitar Selat Hormuz turut mendorong kenaikan harga minyak mentah. Jika harga tenaga terus meningkat, tekanan inflasi boleh kembali memuncak dan memaksa Fed mengekalkan kadar faedah tinggi lebih lama, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan harga emas dalam tempoh terdekat.


























































