Pergerakan US dolar sedikit goyah pada sesi dagangan Eropah, memperlihatkan raja mata wang itu berundur dari puncak tertinggi yang dicapai sebelum ini.
Walaupun begitu, dolar greenback masih diniagakan kukuh di paras ketinggian lebih satu tahun berbanding pesaing utamanya pada 96.66.
Terdahulu, pelabur telah diperlihatkan dengan laporan minit mesyuarat FOMC yang mengatakan bahawa Federal Reserve (Fed) sedia untuk mempercepatkan pengurangan pembelian bon dan menaikkan kadar faedah sebelum inflasi meningkat lebih tinggi.
Ini turut disokong oleh prospek positif, Presiden Fed San Fransisco, Mary Daly yang mengatakan beliau melihat satu atau dua kali kenaikan kadar faedah pada tahun hadapan.
US dolar sepatutnya makin kukuh susulan pandangan hawkish ini, tetapi reaksi sebaliknya dipaparkan yang mungkin disebabkan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur menjelang hujung minggu selepas mendorong mata wang itu lebih tinggi.
Matawang sensitif risiko, dolar Aussie dan kiwi terus didagangkan rendah, ditambah pula dengan tekanan baru dari hubungan Amerika Syarikat dan China selepas pentadbiran Biden menyenaraihitamkan 12 lagi firma dari tanah besar itu.
Sementara euro pula mendapat sedikit sokongan daripada penyusutan US dolar, tetapi mata wang itu kekal di tahap terendah sejak Julai 2020 kerana terkesan oleh pendirian dovish Bank Pusat Eropah (ECB).
Mata wang pound semakin menghampiri paras terendah terbaru tahun ini, dengan diniagakan di sekitar harga 1.33300 berbanding dolar greenback.