Kesan COVID-19 Terus Dirasai, Ekonomi UK Menguncup 20.4% Pada April!

274

Kesan daripada sekatan yang dilaksanakan untuk membendung penularan wabak coronavirus terus dapat dilihat dengan ekonomi UK merekodkan penguncupan paling tinggi pada bulan April.

Laporan yang diterbitkan Pejabat Statistik Negara (ONS) menunjukkan ekonomi UK telah menguncup sebanyak 20.4% pada bulan April daripada penyusutan 5.8% yang direkodkan pada bulan lalu, dan jauh tersasar dari jangkaan pasaran untuk penguncupan 18.6%.

Sementara dalam tempoh tiga bulan sehingga April pula, keluaran dalam negara kasar (KDNK) UK pula menguncup sebanyak 10.4%, sedikit lebih tinggi daripada unjuran untuk mencatat kejatuhan sebanyak 10%.

Penguncupan ini didorong oleh semua sektor utama yang mempamerkan bacaan negatif. Sektor perkhidmatan yang merangkumi kira-kira 80% daripada output ekonomi Britain jatuh sebanyak 19% pada April.

Sementara sektor pembuatan dan pembinaan di Britain pula turut mengalami penurunan ketara dengan masing-masing merekodkan penguncupan sebanyak 24.3% dan 40.1% pada April.

Susulan daripada penerbitan data ekonomi UK, Menteri Kewangan Rishi Sunak mengatakan bahawa coronavirus telah memberi impak yang besar kepada UK dan kemerosotan ini adalah sejajar dengan kebanyakan ekonomi di seluruh dunia.

Tambah beliau lagi, langkah kerajaan termasuk skim untuk membayar pekerja yang diberhentikan sementara, di samping pemberian, pinjaman dan pemotongan cukai untuk syarikat, telah memberi peluang terbaik untuk UK pulih dengan cepat ketika ekonomi dibuka kembali.

Sebelum ini, Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) memberi amaran bahawa UK akan menjadi antara yang paling teruk terjejas berbanding negara maju lain dengan penguncupan ekonomi sebanyak 11.5% pada tahun ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat