Kaedah pembayaran cashless atau tanpa tunai sudah menjadi satu kegilaan dalam kalangan generasi Z dan millennial kerana ia lebih memudahkan urusan.
Kehadiran pembayaran tanpa tunai sudah mula diperkenalkan di negara ini sejak 20 tahun lepas dengan penggunaan kad kredit dan debit. Namun, ia bertambah rancak dengan kehadiran FPX, DuitNow dan JomPAY.
Semasa era pandemik, Malaysia merupakan salah satu negara yang memanfaatkan penggunaan e-tunai bagi menyekat penularan wabak Covid-19 yang melanda ketika itu. Secara tidak langsung, pertumbuhan cashless memberi impak positif dalam persekitaran.
Pada tahun 2022, Visa Consumer Payment Attitudes mendapati lebih 90% rakyat Malaysia sudah membiasakan diri dengan kaedah pembayaran tanpa tunai dan 70% daripada mereka menggunakan Visa.
Pengurus Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata kira-kira 92% responden Malaysia telah menunjukkan mereka pernah menggunakan pembayaran kad debit dan kredit.
Sebahagian besar daripada mereka tertarik untuk terus menggunakan cashless dan 67% pernah tidak memegang tunai untuk beberapa hari.
Katanya lagi, Malaysia dijangka menjadi masyarakat tanpa tunai menjelang 2030. Majoriti pengguna akan bergerak ke arah cashless dan tidak lagi bergantung kepada tunai dalam aktiviti harian mereka.
Namun, kita mestilah membuat persediaan untuk sebarang kemungkinan. Iyalah, sebahagian besar transaksi cashless memerlukan sambungan internet dan rangkaian yang kuat.
Pastikan anda menyediakan tunai di poket sebagai persediaan kecemasan tau!