Sekatan Di New Zealand Bakal Diangkat Sepenuhnya Pada Minggu Depan?

395

Dolar kiwi terus memaparkan kenaikan pada dagangan sesi Asia hari ini, di tengah-tengah keyakinan bahawa sekatan Covid-19 di New Zealand akan diangkat secara menyeluruh pada minggu depan.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden memberitahu dalam satu kenyataan pada Rabu bahawa beliau akan mengangkat semua sekatan untuk mengembalikan negara kepada kehidupan normal, seawal minggu depan.

Ardern akan memutuskan pada hari Isnin sama ada negara itu bersedia untuk beralih kepada waspada tahap 1, setelah lebih dua bulan beliau melaksanakan perintah berkurung dengan menutup hampir semua aktiviti ekonomi.

Di bawah tahap 1, tidak ada syarat untuk penjarakan secara fizikal atau had jumlah orang yang dibenarkan untuk berada di tempat seperti bar, kelab, gereja dan tempat sukan, kata Arden.

Sementara itu, kerajaan New Zealand akan terus memperluaskan skim sokongan Covid-19 untuk perniagaan, menurut Menteri Kewangan Grant Robertson.

Di bawah peraturan baru yang diumumkan pada hari ini, perniagaan akan layak menerima lanjutan subsidi gaji jika mengalami kerugian pendapatan sekurang-kurangnya 40%, berbanding 50% yang ditetapkan sebelum ini.

Dengan perubahan yang dibuat dalam kriteria ini, terdapat tambahan sebanyak 40,000 syarikat layak menerima skim subsidi gaji, di mana sehingga kini ia telah membayar $10.997 bilion yang melibatkan 1.66 juta pekerjaan.

Sehingga kini, New Zealand masih tidak merekodkan kes baru untuk hari ke-14 berturut-turut dengan hanya mempunyai 1 kes aktif. Ini menjadikan jumlah kes di negara itu sebanyak 1,504 dan 22 kematian.

Pada pertengahan Mac, dolar New Zealand telah menyusut kepada ke paras terendah $0.5666 dan sejak itu ia telah meningkat kira-kira 6.9% untuk diniagakan di sekitar paras harga $0.64 berbanding US dolar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat