Ulasan News Besar ECB: Draghi Berulang Kali Memberikan Komen ‘Dovish’

45

European Central Bank (ECB) mengekalkan polisi dalam mesyuarat bank pusat kali ini dengan kadar faedah masih di paras 0.00%. Penetapan kadar faedah menepati ramalan dengan tiada jangkaan kepada sebarang perubahan dalam mesyuarat kali ini.

Menurut kenyataan awal, bank pusat masih menjangka kadar faedah akan berada di paras semasa atau pun lebih rendah dalam jangka masa yang lama. Program pembelian bon juga masih dikekalkan di paras 60 billion Euro sehingga Disember 2017.

ECB mengulangi komen sebelum ini di mana amaun pembelian bon boleh ditingkatkan dari segi saiz atau masa jika jangkaan ekonomi kurang memberangsangkan. Ini adalah retorik sama dengan kenyataan mesyuarat ECB sebelum ini.

Sidang Media

Dalam sidang media ECB sebentar tadi, Presiden Draghi secara umumnya lebih yakin berkaitan dengan keadaan semasa pertumbuhan ekonomi dan menyatakan bahawa risiko kepada ekonomi semakin stabil di mana risiko ke bawah (downside-risk) semakin berkurangan. Beliau juga menyampaikan keyakinannya terhadap data pertumbuhan yang disumbangkan oleh pengukuhan data PMI baru-baru ini.

Walaubagaimanapun, beliau menjelaskan masih ada risiko ke bawah dan masih ada komponen penting dalam ekonomi Zon Eropah yang mudah terkesan dari impak negatif.

Dari segi perkembangan politik di Perancis, Draghi menegaskan bahawa keputusan pilihanraya tersebut tidak akan memberi sebarang impak kepada penetapan polisi monetari.

Perhatian utama dalam sidang media ECB kali ini ialah ‘Draghi terlalu cenderung menjelaskan perbezaan antara pertumbuhan ekonomi dan inflasi di mana mandat ECB adalah mencapai sasaran inflasi.’

Draghi menegaskan tekanan inflasi masih lagi lemah di mana kadar inflasi Mac jatuh lebih dari jangkaan. Hal ini juga disumbang oleh kejatuhan harga minyak mentah global. Dari segi petunjuk yang memberi kesan kepada inflasi iaitu data gaji, Draghi menjelaskan pergerakan kadar gaji adalah tidak menentu.

Beliau juga menjelaskan tiada perbincangan tentang perubahan polisi monetari ECB pada mesyuarat Jun dan juga tentang perubahan panduan (guidance) pada mesyuarat tersebut.

Secara keseluruhan, nada komen dari ECB hari ini masih lagi ‘dovish‘ dan pasaran dijangka akan mendapat sebarang perubahan polisi atau panduan pada mesyuarat Jun atau Julai. Ketika itu, ECB dijangka akan lebih yakin dengan risiko politik yang semakin berkurangan di Zon Eropah.

Matawang Euro bergerak tinggi selepas komen optimis Draghi berkaitan pertumbuhan, tetapi dengan pantas melemah semula apabila beliau membuat komen tentang inflasi di mana beliau berkali-kali memberikan komen ‘dovish‘.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat