US Dolar Kekal Kukuh Meskipun Dibelenggu Bacaan Data Ekonomi Yang Suram

251

US dolar didagangkan meningkat berbanding sekumpulan matawang utama dengan mengukuh 0.8% lebih tinggi pada minggu ini walaupun disajikan dengan bacaan data ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Bacaan PMI pembuatan AS mencatatkan penguncupan ketara dalam aktiviti perkilangan dalam tempoh 11 tahun kepada 36.9 pada April daripada 48.5 pada Mac, didorong oleh pembatalan pesanan tempatan dan asing berikutan penularan COVID-19 yang meningkat.

Selain itu, jumlah tuntutan faedah pengangguran Amerika Syarikat pada minggu lalu meningkat sebanyak 4.427 juta, menyebabkan dalam masa hanya lima minggu, kesemua penciptaan pekerjaan yang direkodkan dalam ekonomi negara itu selama tempoh 11 tahun hilang dalam sekelip mata.

Pasangan matawang USD/JPY melonjak hampir 70 pips pada dagangan sesi New York selepas surat khabar Nikkei melaporkan Bank of Japan (BOJ) akan berbincang mengenai pembelian bon tanpa had pada mesyuarat polisi minggu depan.

Walaupun masih tiada butiran yang jelas mengenai pembelian tersebut tetapi kemungkinan tindakan BOJ selanjutnya boleh mendorong kepada penurunan matawang itu.

Sementara itu, Dewan Perwakilan AS hari ini telah meluluskan pakej rangsangan bernilai $484 bilion yang bertujuan untuk membantu perniagaan kecil dan hospital. Ini menjadikan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menangani krisis COVID-19 telah mencecah $3 trilion.

Euro jatuh ke paras terendah satu bulan berbanding USD, ditekan oleh ketidakpastian dalam kesepakatan Kesatuan Eropah (EU) yang dilaporkan telah bersetuju untuk menubuhkan dana pemulihan besar-besaran, namun tiada butiran yang jelas mengenainya dikeluarkan.

Turut menambah tekanan kepada euro adalah bacaan PMI pembuatan dan perkhidmatan Zon Eropah yang merekodkan kejatuhan ketara pada bulan April disebabkan oleh penularan coronavirus yang semakin meluas telah menjejaskan aktiviti perniagaan dan perkilangan.

Matawang pound diniagakan mendatar berbanding USD meskipun dengan data PMI pembuatan dan perkhidmatan UK yang lemah dan ketidakpastian Brexit kembali membelenggu berikutan UK dilaporkan membuat tuntutan yang mustahil kepada EU dalam rundingan mereka.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat