USDJPY Analisa Fundamental Harian 19 Mei 2016

36

Dollar Yen terus memacu naik tanpa menoleh kebelakang Rabu semalam, lebih 150 pips untuk ke paras tertinggi harian sekitar ¥110.25 sebelum menutup sekitar paras ¥110.18; walaupun pada awalnya Yen mendapat permintaan terkesan dari laporan GDP Jepun yang lebih baik dari jangkaan.  Awal pagi tadi, siaran minit mesyuarat terbaru FOMC Amerika Syarikat menunjukkan Federal Reserve bersedia menaikkan kadar pada Jun ini, sekiranya laporan ekonomi sejajar dengan jangkaan.

Di pasaran Jepun pagi semalam, Yen mendapat bidaan pada sesi Asia selepas Jepun melaporkan pertumbuhan ekonomi yang memberansangkan, dengan pertumbuhan 0.4% pada suku pertama tahun ini berbanding penguncupan -0.3% pada suku terakhir tahun lepas.  Pasaran menjangkakan ekonomi Jepun hanya akan berkembang pada 0.1% sahaja.  Menurut Kabinet Jepun, pertumbuhan tersebut telah dipacu oleh perbelanjaan pengguna dalam ekonomi domestik.

Laporan terbaru GDP tersebut, mengesahkan ekonomi Jepun kembali pulih dan ransangan ekonomi Perdana Menteri Shinzo Abe telah menunjukkan keberkesanannya.  Menurut penganalisis, ekonomi Jepun telah berada dalam kancah turun naik selama empat suku berturut-turut.  Ini membayangkan pertumbuhan ekonomi yang lemah dan tidak berdaya tahan, ekoran kelembapan ekonomi Global dan kegawatan pasaran kewangan.

Di pasaran Amerika Syarikat pula, awal pagi tadi minit mesyuarat FOMC yang disiarkan mengesahkan keputusan Federal Reserve untuk terus menaikkan kadar tanpa berlengah sekiranya laporan ekonomi sejajar dengan jangkaan.  Laporan ekonomi yang menjadi perhatian adalah inflasi, GDP dan sektor pekerjaan.  Dengan inflasi yang dilaporkan meningkat baru-baru ini, sentimen pasaran kini kuat dan bersedia menghadapi kenaikan kadar pada Jun ini.

Malam ini Amerika Syarikat bakal melaporkan Indeks Pembuatan Feds cawangan Philadelphia yang dijangka bertambah baik dari -1.6 mata kepada 3.2 mata dan tuntutan pengangguran yang dijangka berkurang dari 294 ribu kepada 276 ribu pemohon.  Tiada sebarang laporan berimpak tinggi dari Jepun hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat