Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dalam syarikat pemula Indonesia, eFishery, berpunca daripada penipuan yang dirancang dengan teliti oleh pihak pengurusan syarikat tersebut.
Menurut beliau, keputusan pelaburan dibuat mengikut proses usaha wajar dan tadbir urus yang ditetapkan, berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit serta disahkan oleh juruaudit antarabangsa.
Konsortium pelabur, termasuk KWAP, turut menjalankan semakan bebas sebelum meluluskan pelaburan itu.
Anwar menjelaskan pelaburan dalam eFishery turut disertai beberapa pelabur institusi antarabangsa seperti Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar, yang masing-masing mempunyai proses penilaian dan kawalan pelaburan bertaraf antarabangsa.
Susulan penemuan penipuan tersebut, konsortium pelabur termasuk KWAP telah memulakan tindakan undang-undang, usaha mendapatkan semula dana serta menyemak semula proses tadbir urus dan kawalan pelaburan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
KWAP turut menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburannya. Penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan dana persaraan penjawat awam dan meningkatkan tahap ketelusan serta akauntabiliti institusi.
KWAP melaburkan AS$47.7 juta, bersamaan kira-kira RM203 juta, dalam eFishery pada Julai 2023.
Syarikat itu sebelum ini dikenali sebagai syarikat teknologi akuakultur yang berkembang pesat, namun pengasas bersamanya, Gibran Huzaifah, kemudian dijatuhi hukuman penjara di Indonesia selepas disabitkan atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

























































