Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pengendali rangkaian pawagam tempatan, MBO Cinemas Sdn Bhd, mengumumkan penamatan operasinya secara kekal selepas hampir lima tahun kembali beroperasi dalam industri hiburan tempatan.
Dalam satu kenyataan rasmi, syarikat itu menyatakan penghargaan kepada para pelanggan yang selama ini menyokong perjalanan MBO Cinemas dan menjadikan pawagam tersebut sebahagian daripada pengalaman sinematik mereka.
Menurut kenyataan itu, setiap detik yang dikongsi bersama penonton, daripada sorakan di dewan yang penuh sehinggalah kepada babak filem yang menyentuh emosi, menjadi memori yang bermakna buat pihak syarikat.
MBO Cinemas sebelum ini menutup semua operasinya di Malaysia pada tahun 2020 susulan impak besar pandemik Covid-19 terhadap industri pawagam.
Pada tahun berikutnya, rangkaian pawagam itu kembali beroperasi di bawah pengurusan baharu selepas Golden Screen Cinemas (GSC) mengambil alih asetnya.
Sehingga penutupan terbaharu ini, MBO Cinemas mengendalikan lapan cawangan pawagam yang terletak di Selangor, Melaka, Perak dan Johor.
























































