Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit mencatatkan peningkatan positif berbanding dolar AS apabila Indeks Dolar AS (DXY) dibuka lebih lemah selepas ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) semakin memuncak.
Kejatuhan tersebut disebabkan oleh kenyataan baharu daripada pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mengenai Greenland.
Pada jam 10:23 pagi, ringgit dibuka pada 4.0500 iaitu mengukuh 0.05% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Mualamat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa indeks DXY merosot 0.35% kepada 99.050 mata, sekali gus menandakan peralihan yang jelas kepada sentimen pengurangan risiko dengan emas muncul sebagai aset perlindungan selamat (self haven) bagi pelabur.
Beliau turut menyatakan bahawa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global 2026 sebanyak 0.2% kepada 3.3%.
Perkembangan itu disokong oleh pelaburan lebih kukuh dalam kecerdasan buatan (AI), keadaan monetari yang akomodatif dan rangsangan fiskal yang dijangka membantu mengimbangi kelemahan dalam dasar perdagangan.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5591/5656 daripada 2.5657/5692 semalam, melonjak berbanding euro kepada 4.7109/7225 daripada 4.7100/7159 dan naik sedikit berbanding pound British kepada 5.4313/4448 daripada 5.4321/4388 sebelum ini.
Ringgit turut diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1491/1571 daripada 3.1521/1562, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 238.7/239.4 daripada 239.0/239.3 dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.9454/9886 daripada 12.9623/9845.
Bagaimanapun, ia kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.81/6.83 daripada 6.81/6.82 sebelumnya. – BERNAMA



























































