Tumpuan pasaran global minggu ini terarah kepada perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dijangka bermula pada Isnin. Perkembangan itu menjadi faktor penting kerana ia berpotensi menentukan hala tuju harga minyak, inflasi global serta sentimen pasaran kewangan.
Presiden AS, Donald Trump berkata rundingan dengan Iran akan diteruskan selepas beliau menangguhkan operasi ketenteraan yang sebelum ini dirancang terhadap negara itu.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas menerima permintaan daripada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Iran bagi memberi ruang kepada penyelesaian secara diplomatik.
Trump turut menyatakan perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada keselamatan Selat Hormuz serta isu program nuklear Iran.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak dunia dan sebarang gangguan di kawasan itu mampu memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global.
Susulan harapan terhadap penyelesaian diplomatik, harga minyak mentah mencatatkan penurunan apabila kebimbangan terhadap gangguan bekalan mula berkurangan. Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut ke sekitar AS$79 setong, manakala minyak mentah Brent turut jatuh ke sekitar AS$83 setong.
Walaupun begitu, risiko geopolitik masih belum berakhir. BMI Research menjangkakan peluang untuk mencapai persefahaman yang lebih menyeluruh mengenai pembukaan semula Selat Hormuz semakin meningkat.
Namun, firma penyelidikan itu turut mengingatkan bahawa rundingan masih berdepan risiko ketegangan ketenteraan dan salah percaturan yang boleh mencetuskan konflik baharu pada bila-bila masa.
Sepanjang minggu ini, pelabur dijangka terus memantau sebarang perkembangan daripada rundingan AS-Iran kerana ia bakal menjadi pemacu utama kepada pergerakan harga minyak, emas dan aset berisiko.
Sebarang kemajuan dalam rundingan berpotensi meredakan tekanan terhadap pasaran tenaga, manakala kegagalan mencapai persetujuan boleh menghidupkan semula kebimbangan terhadap bekalan minyak global dan meningkatkan tekanan inflasi.





















































