Pra-Perbicaraan Antara SEC dan Ripple Menemui Jalan Buntu

2,725

Ripple Labs dan Securities and Exchange Commission (SEC) telah bertembung untuk pertama kali dalam pra-perbicaraan pada 22 Februari 2021.

Untuk pengetahuan, Ripple disaman oleh SEC di bawah Akta Sekuriti AS 1933 Seksyen 5(A) dan 5(C). Manakala, CEO Brad Garlinghouse dan pengerusi, Chris Larsen tampil sebagai defendan, dituduh bersubahat dengan Ripple dan mengaut keuntungan peribadi bernilai $600 juta hasil penjualan XRP bernilai $1.38 bilion.

Pertembungan antara dua pihak itu dilihat tegang apabila Ripple yang diwakili oleh Andrew Ceresney dari Debevoise & Plimpton melepaskan ‘bom’, menghentam SEC kerana saman mereka tidak berasas ekoran daripada tiada sebarang pemberitahuan jelas dalam pasaran bahawa XRP ditentukan sebagai sekuriti.

Malah, SEC dilihat berat sebelah berbanding matawang kripto yang lain kerana mengambil masa yang lama sehingga 8 tahun sejak kewujudan Ripple. Sedangkan pada 2015, DOJ dan FINCEN telah memutuskan XRP adalah matawang, dan Bitcoin (BTC) serta Ethereum (ETH) bukan sekuriti.

Ceresney turut memetik pada tahun 2019 terdapat platform pertukaran kripto (exchanger) yang menghantar permohonan untuk menyenaraikan XRP dalam platform perdagangan mereka, malah SEC tidak menghalang tindakan tersebut dan tidak timbul isu altcoin itu dianggap sebagai sekuriti, “Pertukaran tersebut akhirnya memutuskan XRP sebagai bukan sekuriti dan menyenaraikan matawang itu.”

Pada minggu lepas, SEC telah menfailkan aduan dipinda, mendakwa bahawa Howey Test yang pernah dibahaskan oleh bekas ketua SEC, Joseph A. Hall sudah cukup untuk menghukum Ripple memandangkan firma itu memiliki sejumlah besar XRP termasuk yang dijual dan ditawarkan kepada umum. Malah mengundang spekulasi dalam kalangan pelabur yang mengharapkan keuntungan hasil daripada usaha pembangunan ekosistem XRP.

SEC juga membentangkan kaitan Larsen dan Garlinghouse dalam isu ini: “Bermula pada 2016, ketika Garlinghouse masih COO Ripple, individu ini bertindak dan mengetuai usaha Ripple untuk menjadikan XRP terbuka kepada pelabur untuk membeli dan menjual di platform digital aset. Kedua-duanya percaya dengan cara ini mereka dapat menjualnya dalam harga yang tinggi atau lebih tepat meningkatkan jumlah dagangan XRP.”

Bagaimanapun, Ripple menyelar kenyataan tersebut dengan menolak Howey Test sebagai pengukur kepada isu ini. Mereka percaya Howey Test tiada kaitan dengan XRP memandangkan token itu dijual sebagai aset bukan sekuriti. Dalam 93 mukasurat pemfailan mahkamah, Ripple menegaskan SEC tiada hak untuk memutuskan ia sebagai satu sekuriti.

Nampaknya, masih samar hala tuju kes ini. SEC sendiri masih menunggu Gary Gensler yang tercalon sebagai pengerusi baru untuk disahkan oleh Senat. Manakala, pentadbiran Biden yang digembar-gemburkan akan menyokong sektor kripto juga tidak kelihatan dengan pasti.

Perbicaraan tersebut dijangka berlarutan sehingga 16 Ogos diikuti dengan pendengaran mahkamah di kemudian hari.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat