“Sekarang memang tengah berehat, tapi mungkin harga BTC akan mengganas lagi minggu ini?”
Biarpun pada masa ini kembali berlegar-legar $66,500, harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) menggunung sehingga $67,665 setelah terdapat whale bertindak membeli 1,590 BTC bernilai $106.8 juta yang agak mengejutkan daripada Binance.
Memang tidak dinafikan BTC melihat pergerakan tidak menentu disebabkan acara halving pada April lepas, tetapi urus niaga tersebut telah menyebabkan para pelabur berpandangan positif terhadap kenaikan harga paling dinanti-nantikan yang mungkin berlaku tidak lama lagi.
Menerusi pemerhatian, whale yang melakukan sejumlah besar pembelian BTC melalui satu siri transaksi dalam masa 24 jam lalu telah menggunakan address wallet tidak diketahui iaitu 124BPp9mT…
Selain memperlihatkan reaksi positif seluruh pasaran kripto terhadap pergerakan harga masa depan BTC, data terkini turut menunjukkan address yang memiliki lebih 1,000 BTC telah meningkat sejurus selepas spot BTC ETF diluluskan.
Meskipun begitu, BTC yang kini berada dalam fasa pengumpulan semula mampu melakukan pergerakan turun naik harga selanjutnya sungguhpun tekanan belian kian mencanak disebabkan pengumpulan whales dan peningkatan dalam address yang memegang sejumlah besar BTC.
Hal ini kerana data Coinglass mempamerkan peningkatan 0.31% dalam OI BTC diikuti kejatuhan volum terbitan kira-kira 27.49%, jadi di sini dapat dilihat ketidaktentuan harga semasanya dapat menyebabkan pergerakan aset digital masih berada dalam ketidakpastian.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC menjunam sebanyak 1.00% pada paras $66,245 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran lebih $1 trilion tetapi tetap mencatatkan pendakian 7.87% sepanjang minggu lepas.