Parlimen Jepun meluluskan pindaan kepada Akta Instrumen Kewangan dan Bursa (Financial Instruments and Exchange Act) yang secara rasmi mengklasifikasikan mata wang kripto seperti Bitcoin sebagai aset kewangan.
Langkah itu menandakan perubahan besar dalam pendekatan Jepun terhadap aset digital.
Sebelum ini, mata wang kripto dikawal selia di bawah Akta Perkhidmatan Pembayaran (Payment Services Act) dan dianggap sebagai kaedah pembayaran.
Menerusi rangka kerja baharu, kripto kini akan dilayan seperti instrumen kewangan tradisional termasuk saham dan sekuriti.
Di bawah undang-undang baharu tersebut, semua urus niaga mata wang kripto akan tertakluk kepada peraturan insider trading.
Pelabur dan syarikat tidak lagi dibenarkan membeli atau menjual aset kripto menggunakan maklumat sulit yang belum didedahkan kepada umum, sama seperti peraturan yang dikenakan dalam pasaran saham.
Selain itu, syarikat yang mengeluarkan mata wang kripto baharu bagi tujuan mengumpul dana diwajibkan meningkatkan tahap ketelusan.
Mereka perlu mendedahkan bagaimana dana yang diperoleh akan digunakan bagi memberi perlindungan yang lebih baik kepada pelabur serta meningkatkan keyakinan terhadap pasaran.
Pindaan undang-undang itu dijangka mula berkuat kuasa dalam tempoh setahun.
Kerajaan Jepun percaya langkah tersebut mampu memperkukuh perlindungan pelabur di samping meningkatkan keyakinan terhadap pasaran aset digital negara itu.
Jepun sebelum ini dikenali sebagai antara negara yang mesra industri kripto dalam kalangan ekonomi utama dunia.
Berbanding mengenakan larangan ketat, pengawal selia negara itu memilih untuk membangunkan rangka kerja yang jelas bagi menyokong pertumbuhan industri aset digital.
Penganalisis berpandangan bahawa peraturan baharu ini berpotensi menarik lebih ramai pelabur institusi ke pasaran kripto Jepun.
Pada masa sama, langkah tersebut dijangka mengukuhkan kedudukan Tokyo sebagai antara hab utama pembangunan teknologi blockchain dan Web3 di Asia.
Nak jumpa kami secara bersemuka? Singgah ke Invest Fair di Mid Valley Exhibition Centre pada 18-19 Julai 2026, di Booth 330, Hall 3. Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan merchandise eksklusif Intraday, selagi stok masih ada!

























































