Bitcoin mungkin sedang membentuk paras harga terendah selepas tekanan jualan semakin berkurang, menurut laporan firma analisis blockchain, Glassnode.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $64,549 iaitu menyusut 0.12% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Pemulihan Bitcoin semakin mendapat sokongan selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan tanda-tanda semakin perlahan.
Selepas laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) dan Indeks Harga Pengeluar (PPI) dikeluarkan, Bitcoin berjaya mengatasi prestasi pasaran saham AS dan Eropah.
Ini memberi petunjuk bahawa pelabur semakin yakin terhadap aset berisiko.
Glassnode berkata reaksi positif pasaran terhadap data inflasi menunjukkan kebanyakan penjual mungkin sudah keluar daripada pasaran, manakala pembeli kini hanya menunggu pemangkin baharu untuk meningkatkan pegangan mereka.
Dari sudut data on-chain, Bitcoin masih didagangkan di atas kos pembelian purata semua pelabur tetapi masih berada di bawah kos pembelian pemegang jangka pendek yang dianggarkan sekitar $69,000.
Pada masa sama, pemegang jangka panjang dilihat semakin kurang menjual untuk mengambil keuntungan, manakala sebahagian besar jualan kebelakangan ini berlaku dalam keadaan rugi, satu corak yang sering muncul pada penghujung fasa bear market.
Glassnode turut mendapati aktiviti pengumpulan Bitcoin meningkat ketika harga berada berhampiran paras rendah pada Jun lalu.
Dompet kecil dan besar sama-sama menambah pegangan, walaupun kadar pembelian mula perlahan apabila harga kembali stabil.
Sementara itu, aliran dana ke Spot Bitcoin ETF di AS juga menunjukkan perkembangan positif.
Selepas mengalami aliran keluar besar sebelum ini, dana tersebut kembali mencatat aliran masuk bersih sebanyak $181 juta, sekali gus memberi isyarat bahawa tekanan jualan daripada pelabur institusi semakin reda.
Bagaimanapun, Glassnode mengingatkan bahawa pemulihan ini masih belum disokong oleh permintaan kukuh dalam pasaran spot.
Walaupun sentimen semakin positif dan pertaruhan terhadap kejatuhan harga semakin berkurang, kemasukan modal baharu masih diperlukan untuk mengesahkan permulaan trend kenaikan yang lebih mampan.
Buat masa ini, tanda-tanda awal menunjukkan Bitcoin mungkin sedang membentuk paras dasar.
Namun, arah aliran seterusnya masih bergantung kepada kekuatan pembelian dalam pasaran spot serta sokongan berterusan daripada data ekonomi global.
Nak jumpa kami secara bersemuka? Singgah ke Invest Fair di Mid Valley Exhibition Centre pada 18-19 Julai 2026, di Booth 330, Hall 3. Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan merchandise eksklusif Intraday, selagi stok masih ada!

























































