Harga Bitcoin merosot pada hari Isnin selepas harga minyak dunia melonjak susulan ketegangan baharu antara Amerika Syarikat dan Iran.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $62,432 iaitu menyusut 0.04% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Sentimen pasaran berubah negatif apabila pelabur bimbang kenaikan kos tenaga boleh menyebabkan inflasi kembali meningkat.
Bitcoin jatuh sehingga 3.8% kepada sekitar $61,761 sebelum mengurangkan sedikit kerugian.
Penurunan itu turut membawa Bitcoin kembali berada di bawah paras purata pergerakan 200 minggu (200-week moving average), iaitu petunjuk teknikal yang sering diperhatikan oleh pelabur.
Ethereum turut menerima tempias apabila susut sehingga 3.9% dalam dagangan yang sama.
Penganalisis FxPro, Alex Kuptsikevich, berkata paras 200 minggu sebelum ini sering menjadi kawasan yang sesuai untuk pelabur jangka panjang mula mengumpul Bitcoin secara berperingkat.
Namun, beliau mengingatkan keadaan pasaran semasa masih tidak menentu dan tidak menjamin pemulihan harga dalam masa terdekat.
Lonjakan harga minyak berlaku selepas konflik antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak.
Kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak melalui Selat Hormuz mendorong harga minyak mencatat kenaikan terbesar sejak April.
Harga minyak yang lebih tinggi boleh meningkatkan tekanan inflasi kerana kos pengangkutan dan pengeluaran menjadi lebih mahal.
Keadaan ini boleh menyebabkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan atau menaikkan kadar faedah lebih lama daripada jangkaan.
Pasaran kini memberi perhatian kepada data Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat serta kenyataan Pengerusi Fed minggu ini.
Bacaan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan berpotensi meningkatkan jangkaan kenaikan kadar faedah, sekali gus memberi tekanan kepada aset berisiko seperti Bitcoin.
Walaupun sentimen pasaran masih berhati-hati, terdapat perkembangan positif apabila dana Bitcoin ETF di Amerika Syarikat mencatat aliran masuk bersih sebanyak $197 juta bagi minggu berakhir 10 Julai.
Aliran masuk ini menamatkan lapan minggu berturut-turut pengeluaran dana dan menunjukkan pelabur institusi kembali meningkatkan pegangan mereka dalam Bitcoin.
Perkembangan tersebut dilihat mampu membantu mengurangkan tekanan jualan dalam pasaran kripto, namun hala tuju harga Bitcoin dalam jangka pendek masih banyak bergantung kepada pergerakan harga minyak, data inflasi Amerika Syarikat dan dasar kadar faedah Fed.
Nak jumpa kami secara bersemuka? Singgah ke Invest Fair di Mid Valley Exhibition Centre pada 18-19 Julai 2026, di Booth 330, Hall 3. Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan merchandise eksklusif Intraday, selagi stok masih ada!

























































