Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan tiga pesawat pejuang F-15E Strike Eagle miliknya terhempas di ruang udara Kuwait akibat insiden tembakan rakan sendiri oleh sistem pertahanan udara negara itu.
Menurut kenyataan rasmi, kejadian berlaku pada jam 11:03 malam waktu Timur AS, bersamaan 0403 GMT pada 1 Mac. Ketika insiden, ketiga-tiga pesawat tersebut sedang menjalankan misi sokongan di bawah operasi ketenteraan yang dinamakan “Operation Epic Fury”.
CENTCOM mengesahkan kesemua enam anak kapal berjaya melenting keluar dengan selamat dan kini berada dalam keadaan stabil.
Kuwait turut mengakui kejadian berkenaan dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak AS. CENTCOM menghargai tindakan pantas pasukan pertahanan Kuwait serta sokongan berterusan dalam operasi yang sedang dijalankan.
Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika Syarikat, Dan Caine, hanya menyentuh secara ringkas insiden tersebut dalam taklimat media di Pentagon, Washington pada pagi Isnin.
Beliau mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan tiga pesawat F-15E Tentera Udara AS dan bersyukur kerana kesemua kru berada dalam keadaan selamat. Caine turut menjelaskan bahawa kejadian itu bukan berpunca daripada tembakan musuh.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.
Dalam perkembangan berasingan, media kerajaan Iran yang memetik Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran mendakwa angkatan bersenjata negara itu bertanggungjawab terhadap serangan ke atas sebuah jet AS yang terhempas di Kuwait, menurut laporan Reuters.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak AS berhubung dakwaan tersebut.
Pihak berkuasa memaklumkan siasatan telah dilancarkan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden dan menilai langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.


























































