Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menghadapi tekanan hebat untuk meletak jawatan selepas pemberontakan dalaman Parti Labour semakin memuncak pada ahari Selasa. Setakat ini, seramai 77 ahli parlimen secara terbuka mendesak beliau berundur susulan prestasi buruk parti dalam pilihan raya tempatan minggu lalu yang menyaksikan pengundi beralih kepada parti Reform UK dan Greens.
Krisis ini semakin meruncing apabila dua menteri muda, Miatta Fahnbulleh dan Jess Phillips, meletak jawatan pada hari Selasa sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Starmer. Walaupun Starmer menegaskan dalam mesyuarat kabinet bahawa beliau akan terus memerintah, penganalisis meramalkan peluang beliau untuk bertahan sebagai Perdana Menteri kini hanya sekitar 20 peratus.
Pasaran kewangan menunjukkan keresahan yang nyata terhadap ketidakstabilan politik di Westminster. Kos pinjaman kerajaan UK (Gilt) melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 18 tahun, dengan hasil bon 10-tahun mencecah 5 peratus. Pelabur bimbang sebarang perubahan kepimpinan akan membawa kepada pelonggaran disiplin fiskal dan peningkatan hutang negara.
Secara teknikal, cabaran kepimpinan rasmi hanya boleh dicetuskan jika 81 ahli parlimen parti buruh (20 peratus) mencalonkan pencabar baharu. Setakat ini, proses tersebut belum bermula secara rasmi, namun perpecahan dalam kabinet Starmer dilaporkan semakin ketara dengan beberapa menteri kanan mula menggesa beliau merangka jadual waktu peletakan jawatan.
Nama-nama seperti Andy Burnham, Angela Rayner, dan Wes Streeting kini mula muncul sebagai potensi pengganti. Penganalisis ekonomi memberi amaran bahawa peralihan kuasa ini berlaku ketika UK sedang bergelut dengan inflasi tinggi dan kesan ekonomi akibat perang di Iran, menjadikannya tempoh yang sangat berisiko bagi pelabur global.

















































