Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas melanjutkan kejatuhannya melebihi 1% selepas Federal Reserve (Fed) mengekalkan kadah tidak berubah, Pengerusi Jerome Powell turut memberi bayangan bahawa beliau akan kekal di dalam lembaga pengarah sehingga siasatan jenayahnya digugurkan.
Pada jam 9 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,568.24 iaitu naik 0.53% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Dalam sidang akhbar terakhirnya sebagai Pengerusi Fed, Powell turut mengucapkan tahniah kepada Kevin Warsh yang dilihat semakin hampir untuk menggantikannya.
Powell menegaskan beliau akan terus berkhidmat sebagai gabenor sementara tekanan politik masih wujud, selain memberi amaran bahawa kebebasan Fed kini berada dalam keadaan terancam. Beliau juga menjelaskan tidak akan memainkan peranan sebagai pembangkang berprofil tinggi selepas berundur.
Sementara itu, Federal Open Market Committee (FOMC) mengekalkan kadar faedah pada julat 3.50% hingga 3.75% dalam keputusan yang menunjukkan perpecahan ketara dengan undian 8-4, paling besar sejak 1992.
Stephen Miran menyokong pemotongan kadar, manakala Beth Hammack, Neel Kashkari dan Lorie Logan menolak sebarang isyarat awal pelonggaran dasar dalam kenyataan semasa.
Dalam perkembangan pasaran, dolar AS terus mengukuh apabila pedagang menilai semula jangkaan dasar monetari. US Dollar Index (DXY) meningkat 0.37% kepada 98.96.
Pada masa sama, hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun naik lapan mata asas kepada 4.43%, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap potensi tekanan inflasi yang lebih tinggi.



















































