Inflasi pengguna di Amerika Syarikat melonjak kepada 3.8% secara tahunan pada bulan April, mengatasi jangkaan penganalisis dan mencatatkan tahap tertinggi dalam tempoh hampir tiga tahun. Kenaikan mendadak ini didorong oleh lonjakan harga tenaga yang meruncing akibat konflik berterusan di Iran, dengan harga petrol kini melambung 28.4% berbanding tahun lalu.
Data terbaharu menunjukkan kos sara hidup rakyat AS meningkat 0.6% dalam masa sebulan sahaja. Selain tenaga, komponen penting lain seperti kos perumahan, tambang kapal terbang, dan barangan pakaian turut mencatatkan kenaikan ketara. Faktor tarif antarabangsa dilihat mula memberi kesan langsung kepada harga barangan isi rumah dan kelengkapan rumah.
Situasi ini memberikan tamparan hebat kepada kuasa beli pekerja apabila upah sebenar dilaporkan menyusut 0.3% secara tahunan. Walaupun gaji meningkat, kenaikan harga barang yang pantas telah memadamkan keuntungan pendapatan tersebut, sekali gus menambah tekanan kewangan kepada isi rumah di seluruh negara.
Laporan inflasi yang panas ini merumitkan lagi perancangan Rizab Persekutuan (Fed) untuk mengubah dasar monetari. Dengan empat ahli jawatankuasa telah mula membantah keputusan mengekalkan kadar faedah baru-baru ini. Fed kini berhadapan dengan perpecahan dalaman yang paling ketara sejak tahun 1992 mengenai hala tuju kadar faedah masa hadapan.
Pasaran kewangan kini bertindak balas dengan menjangkakan Fed akan mengekalkan kadar faedah tinggi untuk tempoh lebih lama. Malah, data daripada CME Group menunjukkan pedagang mula mengambil kira kemungkinan kenaikan kadar faedah sebelum akhir tahun ini bagi mengekang inflasi yang kian “degil” di atas sasaran 2%.

















































